July 23, 2024

AUG: Skuad negara sumbang dua pingat emas

AUG: Skuad negara sumbang dua pingat emas


SURABAYA – Skuad badminton negara menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Malaysia di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 yang berlangsung di Malang hari ini.

Emas berkenaan hadir menerusi beregu campuran negara Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan yang menumpaskan gandingan tuan rumah Elgiffani Muhamad Juan-Jovita Elizabeth 21-17, 21-11 pada perlawanan final yang berlangsung di Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Malang.

Emas kedua disumbangkan beregu lelaki negara Wong Tien Ci-Liew Xun selepas menumbangkan pilihan pertama kejohanan dari Indonesia Elgiffani-Purnama Reza Dwicahya 21-19, 21-10 dalam satu lagi aksi final sebentar tadi.

Berbeza pula nasib perseorangan lelaki negara Hooi Shao Herng yang gagal menyaingi saingan Pusri Nachakorn dari Thailand sebelum tewas 10-21, 11-21 untuk membawa pulang pingat perak.

Beregu wanita negara Valeree Siow Zi Xuan-Lee Xin Jie juga terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas ditundukkan gandingan Thailand Atitaya Povanon-Chasinee Korepap 12-21, 13-21.

Malaysia turut meraih gangsa menerusi acara perseorangan wanita N. Saranya yang menewaskan rakan senegara Ung Yi Xing 21-10, 21-10.

Sementara itu, Ketua Jurulatih negara Datuk Abdul Rashid Mohd Sidek berkata keseluruhan pingat yang diraih hari ini hasil kesungguhan dan komitmen yang ditampilkan atlet negara sepanjang kempen badminton berlangsung.

“Kita memperoleh dua emas, dua perak dan satu gangsa pada hari terakhir dengan jumlah keseluruhan pungutan pingat sepanjang kejohanan ialah dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

“Pemain telah memberikan komitmen dan semangat juang yang tinggi untuk edisi AUG kali ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sabtu lepas skuad badminton berpasukan wanita meraih pingat perak selepas tewas kepada Thailand 0-3 di aksi final, manakala berpasukan lelaki negara menumpaskan Singapura 3-0 pada penentuan pingat gangsa. – BERNAMA

 



Source link

OR

Scroll to Top