Aura juara SK Seksyen 20 tak luntur

Aura juara SK Seksyen 20 tak luntur


JUARA bertahan, Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, meneruskan dominasi dalam saingan bola sepak akar umbi apabila bermula garang dengan menundukkan finalis musim lalu, SK Seri Pristana, 2-0 dalam aksi Piala Sumbangsih, pembuka tirai Kejohanan Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun (B-12) 2025, yang berlangsung di Padang SK Putra Heights 2, pada Khamis.

Skuad bimbingan Nik Juhaidi Tarmizi Juhari jelas tampil lebih bersedia, menguasai perlawanan sejak sepak mula lagi dengan corak permainan yang kemas serta disiplin tinggi.

Dua jaringan pantas dalam separuh masa pertama menjadi pemisah antara kecekapan taktikal kedua-dua pasukan.

Gol pembukaan hadir menerusi Muhammad Daneil Mohd Shahizan pada minit ke-23 selepas satu gerakan tersusun di tengah padang, sebelum Aish Rayyan Azhari Abdul Haqq menambah derita SK Seri Pristana dua minit kemudian melalui sepakan percuma menarik yang menewaskan penjaga gol lawan.

Menurut Nik Juhaidi, dua gol tersebut menjadi pemangkin semangat anak buahnya untuk kekal fokus hingga tamat perlawanan.

“Dua jaringan itu memberikan keyakinan besar kepada pasukan untuk mengekalkan rentak serta disiplin permainan.

“Kami berjaya menutup ruang dan mengekang serangan lawan dengan baik, dan itulah faktor utama kejayaan hari ini,” katanya kepada Sukan Sinar.

Kemenangan itu bukan sahaja mengekalkan trofi pembuka tirai milik pasukan dari Shah Alam, malah mengukuhkan status mereka sebagai kuasa utama bola sepak sekolah rendah di Selangor.

Selepas kemenangan tersebut, SK Seksyen 20 bakal berdepan SK Saujana Utama dalam aksi Kumpulan A di Padang SK Kota Kemuning pada Isnin, manakala SK Seri Pristana akan menentang SK Seksyen 9 Shah Alam dua hari kemudian dalam saingan Kumpulan E.

Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 32 pasukan dari seluruh negeri Selangor yang dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir, dan perlawanan akhir.

Kejohanan berprestij Piala Raja Muda Selangor ini mendapat tajaan utama Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad, manakala Sinar Harian bertindak selaku media rasmi.

Juara bakal membawa pulang RM5,000, naib juara RM4,000, tempat ketiga RM3,000, manakala pasukan keempat menerima RM2,000 beserta trofi dan pingat.

Ringkasan AI

  • SK Seksyen 20 menang 2-0 lawan SK Seri Pristana dalam Piala Sumbangsih Kejohanan Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun
  • Skuad bimbingan Nik Juhaidi Tarmizi Juhari menunjukkan permainan kemas dan berdisiplin
  • Muhammad Daneil Mohd Shahizan dan Aish Rayyan Azhari Abdul Haqq jaringkan gol
  • Kemenangan menegaskan dominasi SK Seksyen 20 sebagai kuasa utama bola sepak sekolah rendah di Selangor
  • Kejohanan melibatkan 32 pasukan dari Selangor dan pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi



Source link

OR

Scroll to Top