Aura Titiwangsa bakar semangat regu negara di Piala Asia 2025

Aura Titiwangsa bakar semangat regu negara di Piala Asia 2025


Sumali bersama pengurusan, jurulatih dan pemain negara yang mengalas cabaran di Kejohanan Piala Asia 2025 dari 10 hingga 18 Mei ini.

AURA Stadium Titiwangsa terus menjadi azimat kepada regu sepak takraw negara yang bakal memulakan kempen Kejohanan Piala Asia 2025 dari 10 hingga 18 Mei ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan optimis bahawa kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi suntikan semangat buat skuad negara.

Jelasnya, ini tambahan dengan sokongan padu penyokong tempatan yang membakar semangat pemain di gelanggang.

“Saya berharap Stadium Titiwangsa akan penuh dari awal saingan sehingga ke perlawanan akhir.

“Penyokong di mana-mana negara sememangnya bersemangat, namun apa yang membezakan kita adalah aura serta tahap sokongan yang luar biasa.

“Apa yang paling penting juga ialah prestasi pemain. Kalau sorakan penonton sahaja yang hebat, tetapi prestasi pemain tidak mencapai tahap maksimum, maka sia-sia sahaja.

“Saya harap kali ini kita mampu tampil lebih baik berbanding kejohanan terdahulu,” katanya selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Malaysia pada Ahad.

Dalam masa sama, Sumali yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mengingatkan pemain negara agar tidak terlalu yakin meskipun beraksi sebagai tuan rumah.

Sebaliknya, beliau yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menuntut setiap pemain mengekalkan semangat juang yang tinggi dan memastikan mental kekal berada pada tahap terbaik sepanjang kejohanan.

“Kita juga tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada Thailand, sebaliknya perlu berwaspada dengan cabaran daripada Korea Selatan, Vietnam dan China yang kini menampilkan permainan semakin berkualiti,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top