Shah Alam: Avisena Healthcare meraikan detik bersejarah hari ini dengan Majlis Pecah Tanah bagi bangunan tambahan 11 tingkat Avisena Specialist Hospital.
Bertemakan “Elevate to the Next Chapter”, majlis ini menandakan komitmen hospital dalam meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan untuk komuniti.
Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bersama-sama Pengerusi Avisena Healthcare, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Avisena Specialist Hospital Shah Alam, Dr Razman Abd Karim dan Pengarah Perubatan Avisena Specialist Hospital Shah Alam, Datuk Dr Abdul Rahman bin Mohd Ali.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar, menyampaikan ucaptama menzahirkan rasa syukur dan kegembiraannya terhadap masa depan Avisena Specialist Hospital.
Beliau menekankan kepentingan bangunan tambahan ini dalam perjalanan Avisena Healthcare untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan selesa.
“Visi kami sentiasa jelas iaitu menjadi pilihan pertama pelanggan dalam rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan.
“Dengan pembinaan bangunan tambahan ini, kami komited untuk memperluaskan akses kepada rawatan kesihatan yang terbaik kepada lebih ramai lagi pesakit,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 1996 sebagai Primary Medical Maternity Centre (PMMC) dengan kapasiti sebanyak 15 katil, berkembang pesat sepanjang tahun.
Ia dijenamakan semula pada 2001 sebagai Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) Specialist Hospital dan berpindah ke bangunan baharu pada 2010.
Pada tahun 2018, hospital ini melalui proses penjenamaan semula menjadi Avisena Specialist Hospital seperti yang dikenali hari ini.
Penubuhan bangunan baharu Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital pada tahun 2019 menunjukkan komitmen Avisena Healthcare terhadap kesihatan khusus terutama bagi wanita dan kanak-kanak.
Hari ini, Avisena Healthcare mempunyai kapasiti gabungan sebanyak 250 katil, 108 pakar perubatan dan hampir 1,000 kakitangan.
Tangani isu kekurangan fasiliti kesihatan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar, menekankan mereka komited menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, dan dengan kemudahan baharu itu, mereka berhasrat untuk merapatkan jurang antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan bagi memastikan kualiti dan kecekapan penjagaan.
“Terdapat jurang besar antara jumlah penduduk dan fasiliti kesihatan terutama di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai seperti di Shah Alam dan Lembah Klang.
“Justeru, kebanyakan hospital kerajaan dan swasta sentiasa penuh dengan kadar penggunaan katil yang tinggi.
“Saya yakin dengan usaha ini, kami mampu membantu merealisasikan sasaran kerajaan untuk meningkatkan jumlah katil pesakit di seluruh negara dengan nisbah 2.06 katil bagi setiap 1,000 penduduk,” katanya Elina.
Dengan reka bentuk seni bina ‘biophilic’ moden, bangunan tambahan 11 tingkat baharu ini dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada tahun 2027.
Bangunan ini akan dihubungkan dengan hospital sedia ada melalui jambatan tertutup dua tingkat, memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pesakit dan pelawat.
Setelah siap, Avisena Healthcare akan menawarkan 405 katil pesakit, 13 dewan bedah, 140 pakar perubatan dan 1,400 kakitangan di kedua-dua hospitalnya di Shah Alam.
Avisena juga akan meningkatkan perkhidmatannya dengan empat pusat kecemerlangan khusus iaitu Diabetes, Endokrinologi dan Metabolisma; Kesihatan Jantung; ENT (Telinga, Hidung, dan Tekak); dan Ortopedik, Tulang Belakang dan Trauma.
Hospital ini akan menerajui penjagaan trauma secara holistik termasuk pembedahan plastik, estetik serta rekonstruktif terutama untuk pesakit yang mengalami luka kebakaran dan kemalangan.
Penjagaan kesihatan pintar
Melangkah ke hadapan, Avisena turut merancang projek hospital swasta baharu di Cyberjaya yang bakal bermula pada tahun 2026 dan dijangka beroperasi pada tahun 2029.
Hospital ini akan mengamalkan konsep “Penjagaan Kesihatan Pintar”, didorong kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, dan perubatan presisi, menjadikannya hab strategik untuk pelancongan perubatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Komited terhadap tanggungjawab alam sekitar, sosial, dan tadbir urus, Avisena Healthcare menyertai Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon sejak 2015 dan mencapai pengurangan ‘Green House Gases’ (GHG) tahunan sebanyak 14 peratus.
Hospital ini turut menyasarkan pengurangan sebanyak 30 peratus menjelang 2030 melalui program ‘Sustainable Development Goals (SDG) Ambition Accelerator’ oleh UN Global Compact.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Avisena Specialist Hospital Shah Alam, Dr Razman Abd Karim (kanan), menyampaikan cek kepada Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Murallitharan Munisamy bagi menyokong kesedaran dan rawatan kanser.
Dari aspek sosial pula, Avisena Healthcare terus menyediakan perkhidmatan perubatan percuma melalui Klinik Bergerak Sutera dan bantuan kewangan untuk pesakit yang kurang berkemampuan melalui Yayasan Avisena.
Majlis ini bukan sahaja menandakan peningkatan fasiliti hospital malah pengukuhan misinya untuk memberikan penjagaan kesihatan yang cemerlang dan sokongan komuniti.
Dengan penambahan kemudahan ini, Avisena dilihat bersedia menetapkan standard baharu dalam landskap penjagaan kesihatan di Malaysia bagi memenuhi janjinya untuk menyediakan perkhidmatan perubatan bertaraf dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd