Awal 30-an paling ramai

Awal 30-an paling ramai


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Amat mengejutkan apabila semakin ramai golongan wanita atau lelaki usia muda berdepan masalah kesuburan hingga perlu menjalani rawatan.

Ketua Pusat Kepakaran Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Wan Hilya Munira Mustapha berkata, hasil pengumpulan perkhidmatan Subfertiliti Kebangsaan 2023 mendapati terdapat wanita berusia seawal usia 20 hingga 29 tahun mendapatkan rawatan kesuburan.

“Hasil dapatan data membabitkan tinjauan 5,557 klien wanita dan 3,644 klien lelaki mendapati usia antara 30 hingga 34 tahun adalah paling tinggi mendapatkan rawatan kesuburan membabitkan 13 pusat rawatan di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, isu kesihatan kesuburan adalah unik tidak seperti masalah kesihatan lain kerana ia membabitkan tempoh kesuburan seseorang tanpa bersandar kepada sejarah keluarga.

“Tidak semestinya pasangan berasal dari keluarga mempunyai zuriat yang ramai akan mudah mendapatkan zuriat. Apatah lagi, jika seseorang itu berkahwin pada usia lewat. Ini kerana wanita yang ingin hamil pada usia 30 tahun tahap kesuburan mereka akan mula menurun. Pada usia 35 tahun tahap ini akan menurun mendadak sekitar 50 peratus,” katanya.

Tambahnya, jika seseorang itu berkahwin melebihi usia 30 tahun dan ingin mempunyai cahaya mata, disarankan untuk merancang kehamilan lebih awal bagi mengelakkan kesukaran untuk hamil disebabkan tempoh reproduktif yang lebih singkat.

“Sekiranya wanita yang kahwin pada usia 35 tahun dan ke bawah dan ingin mempunyai zuriat, boleh mendapatkan khidmat perubatan dan konsultasi doktor selepas setahun mencuba sendiri. Bagaimanapun, bagi wanita yang berusia melebihi 35 tahun, disarankan mendapatkan konsultasi doktor dengan lebih awal iaitu enam bulan setelah berikhtiar sendiri untuk hamil.

“Perkara ini kerana berdasarkan tinjauan kajian itu, majoriti klien iaitu sekitar 45 peratus menunggu dua hingga lima tahun sebelum mendapatkan rawatan,” katanya.

Kelewatan mendapatkan rawatan kesuburan akan mengurangkan keberkesanan dan kejayaan untuk hamil.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top