Awie tidak putus asa, setahun kuasai trik bola sepak gaya bebas

Awie tidak putus asa, setahun kuasai trik bola sepak gaya bebas


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: Nampak mudah namun pemuda ini mengambil masa setahun untuk menguasai trik bola sepak gaya bebas yang memerlukan teknik imbangan tangan dan kaki yang baik.

Bagaimanapun, Muhammad Asnawi Md Nizam, 29, atau mesra disapa Awie tidak berputus asa kerana minat yang mula berputik ketika berusia 17 tahun.

Menurutnya, tiada yang memberi tunjuk ajar atau bimbingan sebaliknya dia dapat pendedahan awal dengan menonton video di platform digital.

“Saya belajar daripada YouTube dan kali pertama cuba buat (trik) ketika dalam bilik.

“Keluarga dengar daripada luar dan mereka tak tahu apa saya buat waktu itu sehingga saya tunjuk hasilnya.

“Alhamdulillah, keluarga terutama ibu dan ayah tak halang sebaliknya bagi semangat kepada saya untuk terus bermain,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Awie, sukan yang sudah sebati dengannya itu menuntut komitmen, kerajinan dan kesungguhan dalam menjalani rutin harian bagi memantapkan stamina serta kemahiran.

Justeru, sesibuk mana pun, Awie akan meluangkan masa dengan melakukan latihan, lazimya pada sebelah petang.

“Saya bertugas sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kelantan tapi setakat ini dapat bahagikan masa kerana kerja dan hobi tak boleh dicampur aduk.

“Jadi bila ada kelapangan, saya akan berlatih dalam satu jam atau 30 minit.

“Waktu berlatih, saya ada buat siaran langsung di TikTok dan ada juga kongsi video di Instagram (IG). Tujuannya nak kongsi minat dan ilmu selain tunjuk sukan bola sepak gaya bebas ini ada nilai yang tersendiri,” katanya.

Meskipun begitu, Awie akui ada segelintir memandang sinis kerana menganggap tiada hala tujunya namun dia tidak endahkan kerana tahu apa yang dilakukan.

“Alhamdulillah, saya dapat banyak komen positif di TikTok tapi ada juga yang toksik dengan mempersoalkan apa saya dapat dengan timbang bola.

“Cuma bila fikir semula, saya anggap ia bukan menjatuhkan tapi menaikkan lagi semangat buat yang lebih baik,” katanya.

Berhubung pembabitannya dalam pertandingan pula, Awie berkata, dia mula mengambil bahagian sejak 2015 dengan penyertaan pertama dalam sebuah kejohanan di Shah Alam, Selangor.

“Waktu itu dapat kedudukan lapan terbaik namun kekalahan itu buat saya semakin semangat nak belajar kerana lebih baik perbaiki daripada terus kecewa.

“Tahun seterusnya saya dapat tempat keempat pula dan detik paling manis ketika mewaliki negara serta muncul juara kategori berkumpulan dalam satu kejohanan di Indonesia pada 2018.

“Insya Allah kalau diizinkan saya mahu mewakili lagi negara dalam pertandingan di luar negara. Saya nak bantu naikkan nama ATM juga dan buka mata masyarakat yang anggota tentera bukan hanya bertugas membantu mempertahankan negara tapi juga berbakat dalam sukan,” katanya yang turut menggalakkan anak muda di luar sana untuk aktif bola sepak gaya bebas.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top