Awoniyi dikomakan selepas pembedahan

Awoniyi dikomakan selepas pembedahan


PENYERANG Nottingham Forest, Taiwo Awoniyi, dilaporkan telah diletakkan dalam keadaan koma bagi membantu proses pemulihan selepas menjalani pembedahan kecemasan di bahagian abdomen.

Menurut laporan media, pemain kebangsaan Nigeria itu dikejarkan ke hospital pada Isnin selepas mengalami kecederaan serius ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada Ahad.

Bagaimanapun, keadaan pemain berusia 27 tahun itu dilaporkan tidak mengancam nyawa. Difahamkan, beliau diletakkan dalam keadaan koma bertujuan untuk mengehadkan pergerakan serta menstabilkan kadar degupan jantungnya.

Kecederaan Awoniyi berlaku selepas beliau bertembung dengan tiang gol ketika cuba menjaringkan gol pada lewat permainan.

Walaupun menerima rawatan selama beberapa minit di atas padang, beliau tetap meneruskan aksi kerana Forest telah menggunakan semua kuota pertukaran pemain.

Selepas pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan kelab pada Isnin, tahap kecederaannya dikenal pasti serius sebelum beliau segera dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan.

Pihak kelab dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa Awoniyi kini sedang pulih dengan baik.

Sementara itu, suasana tegang tercetus selepas perlawanan apabila pemilik kelab, Evangelos Marinakis, dilihat bertikam lidah dengan pengurus pasukan, Nuno Espirito Santo, di atas padang City Ground.

Selepas tindakannya dikritik, pihak kelab tampil menjelaskan bahawa Marinakis bertindak demikian kerana kecewa Awoniyi masih dibenarkan bermain walaupun telah mengalami kecederaan.

“Di Nottingham Forest, prinsip menjaga kebajikan pemain bukan sekadar polisi, malah merupakan kepercayaan mendalam pemilik kami.

“Kepada Evangelos Marinakis, kelab ini bukan sekadar pasukan bola sepak, tetapi keluarga. Oleh itu, beliau begitu emosional dan mengambil berat terhadap apa yang berlaku pada Ahad.

“Apabila melihat pemain kami menanggung kesakitan yang jelas, beliau tidak mampu hanya berdiam diri di tepi padang. Tindakannya lahir daripada rasa kemanusiaan dan kasih terhadap pasukan ini,” kata kenyataan kelab.



Source link

OR

Scroll to Top