Axelsen pertahan emas perseorangan lelaki

Axelsen pertahan emas perseorangan lelaki


Paris: Viktor Axelsen dari Denmark mempertahankan gelaran badminton Olimpiknya dengan mengalahkan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, dalam aksi kurang dari satu jam pada final perseorangan lelaki.

Dibantu oleh sorakan penyokong Denmark yang kuat di Arena La Chapelle, Axelsen yang juga pilihan kedua menumpaskan lawannya dengan keputusan 21-11, 21-11 dalam masa 52 minit.

Dia menjadi pemain mengikut jejak langkah legenda China, Lin Dan, yang memenanginya pada tahun 2008 dan 2012.

Selepas meraih gelaran, Axelsen yang berusia 30 tahun mengibarkan bendera Denmark dan berlari-lari di sekitar gelanggang.

“Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana saya mahu meraikan kemenangan ini kerana saya terlalu fokus untuk menang,” kata Axelsen.

“Saya terlalu fokus untuk kekal tenang dan memainkan pukulan yang tepat.”

Perak yang diraih Kunlavut adalah pingat Olimpik pertama Thailand dalam badminton.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraih gangsa selepas menewaskan Lakshya Sen dari India dengan keputusan 13-21, 21-16, 21-11.

China mendahului carta pingat badminton untuk Olimpik ketujuh berturut-turut, memenangi emas dalam acara beregu campuran dan wanita.

Taiwan memenangi beregu lelaki manakala An Se-young dari Korea Selatan meraih emas dalam perseorangan wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top