Ayat ‘ulama bukan Nabi’…

Ayat ‘ulama bukan Nabi’…


Foto hiasan.

– Advertisement –

AYAT ‘ulama bukan Nabi’. Ayat ini mempunyai pelbagai maksud, di antaranya:

i) Nabi maksum iaitu terpelihara daripada melakukan dosa besar dan kecil. Ulama mungkin sahaja berlaku dosa daripadanya seperti manusia lain.

Imam Ghazali menyebut walaupun ulama tidak maksum, tetapi ada para sahabat Nabi atau assalafussoleh yang ‘mahfuz’ iaitu terpelihara daripada dosa dengan keadaan yang sesuai dengan mereka.

Ayat ini biasa disebut dalam pengajian kitab aqidah tauhid mengenai nubuwwat atau di dalam kitab tasawuf.

– Advertisement –

ii)  Ia ucapan golongan sekular, liberal dan yang sewaktu dengannya. Tujuannya ialah melekehkan pangkat keilmuan para ulama.

Dengan itu, ilmu ulama boleh dipertikai dengan sewenang-wenangnya walaupun keilmuan ulama itu sampai ke peringkat mujtahid mutlak seperti 4 orang imam mazhab yang besar iaitu Imam Malik bin Anas, Imam Muhammad bin Idris as-Shafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abu Hanifah.

Mereka yang sampai ke peringkat mujtahid mutlak ini bukan sebarangan orang. Pelbagai disiplin ilmu mesti dicapai mulai daripada bacaan Al-Quran dan hafazannya, sunnah Nabi dengan segala hadisnya dan ilmu yang pelbagai.

Di zaman mereka, para ulama besar sangat ramai. Mereka alim dalam pelbagai disiplin ilmu, bersifat ensiklopedik. Cuma biasanya mereka dikenali dalam bidang yang paling banyak diterokai. Para ulama besar yang hebat-hebat ini tentu tahu menilai keilmuan para ulama mujtahid tadi sehingga mereka mengakui ketinggian ilmu empat orang mujtahid mutlak itu terutamanya, juga ulama besar yang lain.

Justeru, apabila ungkapan ‘ulama bukan Nabi’ disebut oleh golongan sekular dan liberal, mereka bermaksud untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab-tanggungjawab agama yang disampaikan oleh para alim ulama yang beramanah dengan ilmunya.

iii) Ungkapan ini juga disebut oleh segolongan agamawan atau asstizah untuk menunjukkan ulama juga ada kesilapan dan ilmunya tidak sama dengan Nabi.

Mereka berkata: “Kita rujuk terus kepada al-Quran dan hadis”.

Mereka lupa atau jahil bahawa para alim ulama juga merujuk kepada Al-Quran, hadis, ijmak, qias dan sumber-sumber lain yang diperselisihkan dalam bidang sumber perundangan Islam.

Para ulama assalafussoleh ini juga mempunyai manhaj, metod yang tersendiri dalam mengeluarkan hukum daripada sumber asal Al-Quran dan hadis.

Sementara para agamawan dan asatizah tadi, setakat mana ilmu mereka mengenai agama, disiplin ilmu yang mereka kuasai sehingga layak untuk merujuk terus kepada al-Quran dan hadis? Al-Quran tak hafal 30 juzuk. Hadis 40 Imam Nawawi pun tak ingat. Penguasaan ilmu bahasa Arab pun lintang-pukang, tetapi berlagak:

هم رجال ونحن رجال

“Mereka tokoh. Kita juga tokoh.”

Lalu di atas kata-kata ini, mereka menolak pendapat ulama yang hebat dan memberi pendapat sendiri yang mungkin juga telah terikut dengan pandangan ulama lain sebenarnya.

Kalau kail panjang sejengkal, laut dalam jangan diduga.

Saya bimbang apabila ada segolongan asatizah, agamawan yang memperlekeh dan menghina para ulama hebat terdahulu, sehingga ada masyarakat yang jahil agama menuruti jejak mereka, lalu memperlekeh ulama kini yang bersungguh menyampaikan agama dengan beramanah, mengikut disiplin ilmu yang sebenar, yang diwarisi daripada tamadun ilmu Islam sepanjang zaman.

Ilmu ada adab dan akhlaknya. Juga ada disiplin dan tamadunnya.

Walaupun ‘ulama bukan Nabi’ tetapi Baginda SAW telah bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil warisan itu, dia telah mendapat habuan yang banyak”. [Riwayat Abu Daud no. 3641) – HARAKAHDAILY 18/12/2024

Penulis ialah Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu.



Source link

OR

Scroll to Top