Azam Baki tuntut ganti rugi RM100 juta! Keluar surat tuntutan kepada Bloomberg

Azam Baki tuntut ganti rugi RM100 juta! Keluar surat tuntutan kepada Bloomberg


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap Bloomberg berhubung penerbitan artikel yang mendakwa beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Firma guaman mewakili Azam, Tetuan Zain Megat & Murad, berkata beliau turut menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan kecederaan terhadap reputasi dan kedudukan profesionalnya.

“Artikel itu adalah fitnah, tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan serta telah menyebabkan merosakkan reputasi bukan sahaja kepada Azam secara peribadi tetapi juga terhadap maruah dan integriti institusi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata firma guaman tersebut.

Azam Baki tuntut ganti rugi RM100 juta

Semakan mendapati LOD itu telah diedarkan kepada pejabat Bloomberg di Amerika Syarikat serta pejabatnya di Malaysia.

Firma guaman berkenaan mengesahkan telah menerima arahan untuk memulakan tindakan undang-undang dan mendapatkan semua remedi perundangan yang tersedia, termasuk tuntutan ganti rugi serta relif lain yang bersesuaian.

Surat tuntutan itu menegaskan penerbitan berkenaan memberi gambaran bahawa Azam tidak mengisytiharkan asetnya secara terbuka dan mencadangkan wujud salah laku berkaitan pegangan saham tersebut.

Artikel lain: Tiada pengaruh peribadi! SPRM nafi dakwaan laporan media antarabangsa, tegas jalankan siasatan

Selain itu, LOD itu menuntut supaya Bloomberg segera mengeluarkan permohonan maaf bertulis yang jelas dan tanpa syarat dalam tempoh 14 hari, menarik balik serta memadam artikel tersebut daripada laman web, Bloomberg Terminal, dan semua platform sindikasi pihak ketiga. Permohonan maaf juga perlu disiarkan dalam bentuk yang diluluskan oleh peguam beliau.

Tegas firma guaman, Azam tidak melanggar mana-mana undang-undang, peraturan, atau keperluan perkhidmatan awam, dan semua pengisytiharan serta rekod dokumentasi berkaitan wujud dan boleh disahkan.

Sumber: Utusan Online  (Nuraina Hanis Abd. Halim)





Source link

OR

Scroll to Top