sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, terus mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila membantu kuartet 4×100 meter (m) Universiti Auburn meraih pingat emas pada Kejohanan Jemputan Yellow Jacket di Atlanta, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
Azeem yang bergandingan bersama Alejandro Cardenas, Ian Myers dan Tyler Davis mencatat masa 39.75 saat (s) untuk muncul juara acara berkenaan.
Kuartet Universiti Lipscomb yang dibarisi Emery Eckert, Joel Nimoh, Wessel Vandernest dan Justin Davis pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 41.93s.
Tiada pemenang tempat ketiga direkodkan apabila lima lagi pasukan yang mengambil bahagian gagal menamatkan perlumbaan (DNF) selain ada yang tidak memulakan saingan (DNS).
Kejayaan itu sekali gus menghadiahkan pingat kedua buat Azeem pada kejohanan berkenaan selepas meraih perak dalam acara 100m, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd





