sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Penyerang import Adam Azeez Arisekola bertekad melebarkan kejayaan dan pencapainnya dalam mencetak gol buat skuad yang baru disertainya iaitu Kedah FA dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026.
Beliau yang berjaya meledak tujuh gol sepanjang musim lalu bersama PT Athletic FC ini bersyukur kerana hasratnya untuk meneruskan impian dalam Liga Malaysia bersama Kedah FA musim ini tercapai sekali gus membuka lembaran baharu buatnya di Kedah.
“Musim lalu saya bersama Putrajaya FC dan kini saya mahu meneruskan kemampuan saya bersama Kedah FA kerana saya yakin dapat melakukan sesuatu yang lebih berjaya di sini.
“Saya memperoleh tujuh gol pada musim lalu dan sudah pasti saya mahukan lebih lagi jumlah jaringan pada musim ini bagi membantu Kedah FA mencapai kedudukan antara teratas di kelompok Liga A1 pada musim ini.
“Saya bersedia memberi seratus peratus usaha melalui pengalaman yang saya lalui sebelum ini dengan suasana yang menarik dan ceria menjalani latihan bersama pasukan dibawah kendalian Ketua Jurulatih Victor Andrag,” katanya selepas memasuki hari kedua latihan bersama pasukan.
Adam Azeez juga berkata walaupun sasaran peribadinya mahu mengatasi rekod tujuh gol sebelum ini, namun fokusnya kini juga terarah kepada kombinasi dengan semua pemain dalam pasukan bagi memastikan kejayaan secara bersama.
“Mereka (pemain) bersedia sebagai satu pasukan dan dengan gandingan dua lagi pemain import iaitu Yakubu Abubakar dan Pape Diakite yang sudah saya kenali sebelum ini, saya yakin mereka juga cukup bersemangat mencapai sesuatu untuk pasukan pada musim ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd