am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Azharina Azhar, 40, mahu melihat Sabah lebih membangun dalam aspek fizikal selain menyelesaikan masalah sosial yang berlarutan di negeri kelahirannya.
Menurut Azharina, kenyataannya tular sebelum ini mengenai apa yang akan dilakukannya sekiranya bergelar wakil rakyat.
“Saya pun terkejut bila ditanya begitu. Tapi kalau ikut hati, perkara pertama yang saya mahu selesaikan ialah isu pendatang asing tanpa izin (Pati).
“Di Sabah memang ramai (Pati), sampai ada yang minta sedekah di tepi jalan. Ia memberi imej buruk kepada rakyat tempatan dan pelancong,” katanya mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Azharina berkata, masalah sosial seperti kumpulan jalanan, penipuan dan kegiatan tidak bermoral semakin ketara sehingga sering dipaparkan di media sosial.
“Ini semua masalah yang sudah berlarutan lebih 60 tahun, sama seperti isu air, elektrik dan kebersihan. Itu yang saya tekankan,” katanya.
Sebagai anak jati Sabah, Azharina menegaskan suaranya bukanlah kenyataan politik, tetapi luahan rakyat yang mahu perubahan nyata di negeri sendiri.
“Kami orang Sabah sangat bangga dengan negeri kami. Sumber pun banyak, tetapi kenapa rakyat masih terbeban?
“Saya berharap PRN kali ini rakyat dapat memilih pemimpin yang betul-betul buat kerja dan mampu majukan Sabah, bukan sekadar tambah kedai atau pusat beli-belah” katanya.
Azharina berharap pemimpin negeri dan wakil rakyat yang bakal dipilih dapat melihat isu sosial dari sudut yang lebih luas dan menyelesaikannya secara serius.
“Saya cuma mahu perubahan yang baik untuk Sabah. Itu harapan saya sebagai anak Sabah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





