PUTRAJAYA – Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri yang disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu melahirkan rasa syukur dan lega kerana terlepas hukuman gantung sampai mati yang digantikan dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Peguam mewakili Azilah, J Kuldeep Kumar berkata, ini adalah kali pertama dalam prosiding mahkamah terdapat surat sokongan keluarga mangsa yang memohon supaya perayu tidak dikenakan hukuman gantung.
Kuldeep memberitahu, kemungkinan besar anak guamnya akan dibebaskan pada 2034.
Sementara itu, peguam mewakili bapa model Mongolia itu, Dr Shaariibuu Setev, Sangeet Kaur Deo berkata, keluarga Altantuya berpendapat keputusan penjara 40 tahun penjara itu adil.
“Anak guam saya seorang yang percaya kepada keadilan buat umat manusia, itu termasuklah kesucian nyawa kerana semuanya layak untuk hidup.
“Beliau sudah hantar surat kepada saya pada Ogos tahun ini sebelum dikongsikan kepada peguam perayu. Surat itu yang dibaca dalam mahkamah hari ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman, hari ini.
Mahkamah membenarkan semakan hukuman mati terhadap Azilah dengan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun yang berkuatkuasa sejak tangkapan Azilah pada November 2006.
Ketika membacakan keputusan sebulat suara, tiga panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Maimun Tuan Mat berkata, antara sebab mengapa hukuman itu digantikan kerana surat yang telah disampaikan oleh Dr Setev yang juga telah memaafkan perbuatan tertuduh terhadap anaknya.
Pada 2009, Azilah disabitkan bersama Koperal Sirul Azhar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu manakala penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan itu oleh mahkamah yang sama.
Namun pada 2013, Azilah dan Sirul Azhar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan namun pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang melepaskan dan membebaskan kedua-dua mereka serta mengembalikan sabitan dan hukuman mati mereka pada 2015.
Kerana tinggal melebihi visa pelancong, pihak berkuasa Australia menahan Sirul namun pada masa sama negara itu juga enggan menghantar kembali Sirul walaupun diminta diekstradisi kerana mereka mempunyai dasar tidak hantar pulang individu yang menghadapi hukuman mati di negara asal.
Pada November 2023, Sirul yang berusia 52 tahun dibebaskan dan terus tinggal di Australia. – MalaysiaGazette