wanasr@hmetro.com.my
Genting Highlands: Pelakon, Azira Shafinaz memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-61 di sini, malam tadi.
Kejayaan itu susulan lakonan mantap menerusi filem seram, Indera arahan Woo Ming Jin.
Azira sangat terharu menerima anugerah itu.
“Terima kasih kepada seluruh produksi yang terbabit dalam menjayakan filem ini.
“Ini penghargaan yang cukup bermakna buat saya dan seluruh pasukan, ” katanya selepas menerima trofi itu.
Rakan seangkatan Azira, Fabian Loo pula memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan hebat dalam filem Rain Town.
Bagaimanapun Fabian tidak dapat hadir dan diwakili pengarah filem Rain Town, Tengku Mona.
Turut merangkul pencapaian cemerlang adalah produksi dari Hong Kong dan China menerusi filem The Last Dance yang mendominasi malam anugerah itu.
Filem arahan Anselm Chan Mou Yin itu memenangi kategori Penyuntingan Filem Terbaik oleh William Chang Suk Ping dan Curran Pang.
Diikuti anugerah Aktres Terbaik lakonan Michelle Wai, Pengarahan Seni Terbaik (Yiu Hon Man) serta pencapaian cemerlang Anselm sebagai Pengarah Terbaik.
Anugerah turut menobatkan filem Padatik menerusi Skor Muzik Asal Terbaik serta Solekan dan Rekaan Kostum Terbaik.
Bagi anugerah Kesan Visual Terbaik pula dimenangi Eye Of The Storm menerusi Archin Yen.
FFAP turut mengiktiraf pencapaian bintang Hong Kong, Raymond Wong bagi FPA Paling Cemerlang selain Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Sammo Hung.
Turut dinobatkan pemenang Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik oleh Thodsapon Thiptinnakorn, Pat Boonnitipat serta Aktor Terbaik menerusi Putthipong Assaratanakul bagi filem yang menarik perhatian dunia, How To Make Millions before Grandma Dies.
Selain Media Baharu Terbaik oleh Wo Long Feng Chu manakala Filem Pendek Terbaik diungguli The Lonely Piano.
Koreografi Aksi Terbaik dimenangi Blue Room, Sinematografi Terbaik oleh Joseph Christoforus Fofid untuk filem dari Indonesia, Woman From Rote Island.
Anugerah Khas Juri pula diberikan pada filem tempatan, EMP4T dan Side Seeing The Movie dari Vietnam.
© New Straits Times Press (M) Bhd