GENTING HIGHLANDS : Bersaing dengan barisan pelakon antarabangsa lain, rezeki bagaimanapun berpihak kepada dua pelakon tanah air, Azira Syafinaz dan Fabian Loo yang berjaya membawa pulang trofi untuk dua kategori pencalonan mereka.
Menerusi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, kemenangan Azira dan Fabian sekaligus menyaksikan keupayaan mereka mengharumkan nama negara sempena penganjuran festival berprestij tersebut.
Azira meraih kemenangan tersebut menerusi filem Indera manakala Fabian pula menerusi nakshah berjudul Rain Town.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Azura berkata, dia tidak menyangka dirinya tercalon dalam kategori tersebut namun bersyukur kerana bakatnya dihargai dalam majlis berprestij itu.
“Pertama sekali, saya tidak tahu nama saya tercalon dalam kategori ini.
“Jadi, ini seperti satu kejutan besar. Terima kasih kepada APFF atas penghargaan yang besar ini. Saya sangat besar hati dan merendah diri menerima anugerah ini,” katanya ketika menerima anugerah tersebut dalam majlis yang berlangsung di sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis ini ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM),Pansha dan Pengerusi Penganjuran FFAS, Aaron Koh.
Sementara itu, FFAS ke-61 juga menyaksikan filem Thailand berjudul How To Make Millions Before Grandma Dies arahan Pat Boonnitipat meraih Anugerah Filem Terbaik.
Filem tersebut berjaya menewaskan filem Padatik, The Last Dance, Woman From Rote Island dan Eye of The Storm yang bersaing merebut trofi yang sama.
Untuk kategori Aktor Terbaik, anugerah itu telah diraih oleh Putthipong Assaratanakul (How to Make Millions Before Grandma Dies) manakala kategori Aktres Terbaik dirangkul oleh Michelle Wai untuk filem The Last Dance.
Mendominasi anugerah FFAS ke-61 adalah filem The Last Dance dari Hong Kong yang menyaksikan empat trofi dibawa pulang mudah oleh naskhah arahan Anselm Chan Mou Yin.
Ia menerusi Anugerah Pengarah Filem Terbaik, (Anselm Chan Mou Yin), Aktres Terbaik (Michelle Wai), Penyuntingan Filem Terbaik (William Chang Suk Ping & Curran Pang) dan Pengarah Seni Terbaik (Yiu Hon Man).
Dalam pada itu, berikut ialah senarai pemenang untuk kategori yang dipertandingkan:
1. Filem Terbaik: How To Make Millions Before Grandma Dies
2. Pengarah Terbaik: Anselm Chan Mou Yin ( The Last Dance)
3. Aktor Terbaik: Putthipong Assaratanakul (How to Make Millions Before Grandma Dies) (Thailand)
4. Aktres Terbaik: Michelle Wai (The Last Dance) (Hong Kong)
5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: (Malaysia) – Rain Town (Fabian Loo)
6. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: (Malaysia)- Indera (Azira Shafinaz)
7. Lakon Layar Terbaik: (Thailand) –
How To Make Millions Before Grandma Dies (Thodsapon Thiptinnakorn. & Pat Boonnitipat)
8. Sinematografi Terbaik: (Indonesia) – Woman From Rote Island (Joseph Christoforus Fofid)
9. Penyuntingan Filem Terbaik: (Hong Kong) – The Last Dance (William Chang Suk Ping & Curran Pang)
10. Skor Muzik Asal Terbaik: (India) – Padatik
(Indraadip Dasgupta)
11. Kesan Bunyi Terbaik: (Taiwan) Eye of the Storm ( Book Chien, Sun Sy Yuan & Thang Hsiang Chu)
12. Kesan Visual Terbaik: (Taiwan) – Eye of The Storm (Archin Yen)
13. Pengarah Seni Terbaik: (Hong Kong) – The Last Dance (Yiu Hon Man)
14. Solekan dan Kostum Terbaik: ( India) – Padatik ( Somnath Kundu & Sabarni Das)
15. Koreografi Aksi Terbaik: (Filipina) – Blue Room
16. Filem Pendek Terbaik: The Lonely Piano
17. Media Baharu Terbaik: Wo Long Feng Chu
18. Anugerah Khas Juri: (Singapura & Malaysia) – Emp4t
19. Anugerah Khas Juri: (Vietnam & Thailand) – Side-Seeing The Movie
20. FPA Paling Cemerlang
21. Anugerah Pembuat Filem: Raymond Wong Pak Ming (Hong Kong)
22. Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Sammo Hung
Untuk info, Lebih 20 buah negara telah menghantar penyertaan bagi FFAS ke-61 yang turut menyaksikan pembabitan dari negara bukan Asia Pasifik dengan 19 kategori dipertandingkan termasuk dua kategori khas.
Penyertaan juga menyaksikan sebanyak 268 naskhah filem daripada 21 negara dengan 18 daripadanya terpilih untuk bersaing untuk merangkul trofi terbaik.
Selain Malaysia, negara lain yang menyertai ialah Thailand, China, India, Vietnam, Filipina, Australia, Nepal, Korea Selatan, Jepun, Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Taiwan, Kuwait dan Iran.
Anugerah ini di lihat sebagai satu platform yang menarik bukan sahaja mengenengahkan bakat tempatan ke luar negara tapi juga mempromosikan Malaysia di mata dunia.
Kerjasama yang diberikan oleh kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga sekaligus memberi harapan agar FFAS mampu menjadi sebuah acara yang diingati para penggiat seni seluruh Asia.-UTUSAN