PARIS- Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang gagal untuk layak ke suku akhir acara pecut selepas menduduki tangga ketiga pusingan repechages 1/8.
The PocketRocketman itu ketinggalan 0.190s di belakang Mateusz Rudyk dari Poland yang mencatatkan 9.966 saat, manakala Mikhail Yakovlev dari Israel (+0.0543) kedua.
Beliau terpaksa beraksi dalam repechage selepas tewas kepada Jeffrey Hoogland (9.772s) dari Belanda dengan ketinggalan +0.037s pada saringan 6 pusingan 1/8.
Terdahulu, jaguh berbasikal itu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 9.402s untuk menduduki tempat ke-10 pusingan kelayakan, mengatasi rekod 9.523s dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.
Bercakap kepada Bernama selepas perlumbaan, pemenang pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo 2020 itu berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan permulaan kempen kali ini selepas berjaya mencapai catatan masa dimahukan pada pusingan kelayakan.
“Perancangan awal kita adalah untuk berlumba satu demi satu pusingan. Saya gembira dapat kalahkan Luca Spiegel dari Jerman dan Hamish Turnbull dari Great Britain.
“Perancangannya untuk kalahkan Hoogland tapi sebaliknya. Ia merupakan satu perlumbaan yang hebat dari segi teknikal dan taktikalnya cuma saya tidak cukup laju.
“Ketika pusingan repechage, John Beasley berkata simpan tenaga untuk keirin. Jika ke pusingan repechage akan berdepan dengan pelumba-pelumba hebat seperti Harrie Lavreysen (Belanda) di suku akhir dan saya membazir tenaga. Saya akan simpan tenaga untuk perlumbaan seterusnya pada 8 malam esok,” katanya.