Azizulhasni dakwa wujud ‘mainan kotor’ cuba singkir Beasley

Azizulhasni dakwa wujud ‘mainan kotor’ cuba singkir Beasley


JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendakwa wujud unsur ‘mainan kotor’ dalam isu membabitkan Pengarah Teknikal Berbasikal Negara, John Beasley yang tawar hati dan mahu meninggalkan Malaysia selepas Sukan Asia 2026.

Menurut Azizulhasni, lebih mengecewakan, isu tersebut timbul ketika kem negara sibuk membuat persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.

“Bukan satu kali bukan dua tetapi berkali-kali bila kita dalam persiapan untuk kejohanan besar, akan ada orang buat pelbagai isu.

“Kalau semua orang ini memang ambil berat tentang sukan negara, mereka tak akan buat perkara-perkara sebegini pada waktu dan ketika sebegini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beasley dijangka meninggalkan jawatannya pada penghujung tahun ini walaupun kontrak semasanya berakhir pada 31 Januari tahun depan, selepas semakin kecewa dengan isu politik, kerenah birokrasi serta kekurangan infrastruktur akar umbi dalam sukan berbasikal Malaysia.

Dalam hantaran sama, Azizulhasni menegaskan, politik yang dimaksudkan Beasley bukan merujuk kepada orang politik, sebaliknya politik dalaman dalam sukan berbasikal negara.

Azizulhasni turut menyifatkan politik dalaman sukan yang tidak berkesudahan menjadi penghalang kepada usaha mencungkil bakat dalam melahirkan atlet elit seperti sebelum ini.

“Tiba-tiba ada juga yang nak mengheret YB Menteri dalam isu ni sedangkan saya percaya perkara ini tak perlu melibatkan pihak menteri pun dan sebenarnya boleh diselesaikan pada peringkat awal,” katanya.

Azizulhasni juga mendedahkan, isu berkenaan telah diketahui ramai pihak yang berada di dalam arena lumba basikal termasuk di luar negara sekaligus berpotensi merosakkan imej negara.

Katanya, perbincangan secara baik sepatutnya dibuat terlebih dahulu sekiranya terdapat pihak ingin menamatkan kerjasama dengan Beasley.

“Cumanya, dengan berbuat sebegini rupa, amat buruk dan tak elok untuk kita semua. Seperti habis madu sepah dibuang.

“Bukankah kita orang Malaysia ini berbudi bahasa dan baik tingkah lakunya? Lagi-lagi mereka yang beragama Islam itu, bukankah kita kena tunjuk contoh yang baik kepada mereka yang bukan Islam?,” tambahnya.

Dalam masa sama, Azizulhasni berkata, Beasley mempunyai reputasi baik bukan sahaja sebagai jurulatih, malah sebagai individu yang banyak membantu atlet dan warga sukan berbasikal.

Beliau turut terkilan apabila tidak ramai pihak tampil menyatakan solidariti terhadap Beasley ketika individu itu berdepan situasi sukar.

 



Source link

OR

Scroll to Top