Azizulhasni raih gangsa pecut Piala Trek Asia

Azizulhasni raih gangsa pecut Piala Trek Asia


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas juara dunia keirin, Datuk Azizulhasni Awang menutup aksi sulungnya selepas kembali ke pentas saingan kompetitif dengan meraih pingat gangsa dalam acara pecut elit lelaki di Piala Trek Asia, hari ini.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Suphanburi, Thailand, Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba Korea Selatan, Jung Hojin 2-0 pada penentuan tempat ketiga selepas tewas 1-2 kepada wakil tuan rumah, Jai Angsuthasawit di separuh akhir.

Pelumba Taiwan, Kang Shi Feng pula berjaya menewaskan Jai Angsuthasawit 2-0 untuk meraih pingat emas.

Menurut jurulatih negara, Harnizam Basri melihat saingan itu sebagai pentas penting buat skuad negara menguji kemampuan mereka.

“Kami tamatkan kempen dengan positif, masih banyak ruang untuk diperbaiki. Saya tidak risau dengan keputusan di sini kerana latihan kelajuan hanya akan bermula September ini.

“Azizulhasni tidak menang emas tetapi persembahannya sangat baik walaupun hanya berlatih beberapa bulan selepas kali terakhir beraksi di Olimpik Paris 2024. Perjalanannya masih panjang dan kita tidak mahu terburu-buru,” katanya.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Nur Alyssa Farid terlepas peluang pingat gangsa pecut elit wanita apabila kalah 0-2 kepada wakil Australia, Molly McGill.

Pingat emas dimenangi pelumba Korea Selatan, Cho Sun Young yang menundukkan seorang lagi pelumba Australia, Sophie Watts 2-0 di final.

Dalam acara perlumbaan mata elit wanita, pelumba negara Nyo Chi Hui menghadiahkan pingat perak selepas diekori rapat pelumba Singapura, Elizabeth Liau (emas) dan rakan senegaranya, Valencia Tan (gangsa).

Secara keseluruhan, skuad negara menutup kempen di Suphanburi dengan satu emas, dua perak dan tiga gangsa.

Pingat emas diraih trio lelaki negara, Fadhil Zonis, Ridwan Sahrom dan Akmal Nazimi Jusena dalam acara pecut berpasukan, manakala dalam keirin elit wanita, Alyssa dan Amber Yong Ann Tung masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Di samping itu, atlet Olimpik Paris, Nur Aisyah Zubir turut cemerlang meraih gangsa dalam acara scratch elit wanita.

Harnizam turut mengesahkan sudah mendapat gambaran jelas mengenai pemilihan pelumba kedua untuk acara keirin pada Sukan SEA Thailand selepas menilai keputusan di Piala Asia Trek kali ini.

“Ridwan menduduki tempat kedua dalam keirin tetapi malangnya dibatalkan kerana kesalahan di zon biru. Namun, dia tetap menunjukkan prestasi lebih baik berbanding Fadhil dan Akmal. Keputusan ini memberi petunjuk jelas siapa yang akan dipilih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top