June 14, 2024

Azizulhasni raih motivasi hadapi minggu mencabar di Jepun


NILAI – Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang berada dalam kelas tersendiri apabila memenangi dua pingat emas masing-masing dalam acara pecut dan keirin pada perlumbaan Siri Trek ASEAN di Velodrom Nasional di sini, malam ini.

Ia merupakan perlumbaan kompetitif pertama juara dunia 2017 dalam acara keirin itu sejak meraih gangsa pada Kejohanan Kebangsaan Australia 2024, awal Mac lepas sekali gus menjadi motivasi terbaik sebelum menjalani latihan dan menyertai siri Piala Trek Jepun, minggu depan.

Pada saingan hari ini, Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ merangkul emas pertamanya selepas mengungguli acara pecut dengan menewaskan seorang lagi pelumba negara Muhammad Ridwan Sahrom di final.

Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu kemudian menambah koleksi emas peribadi selepas mendominasi final keirin, meninggalkan seorang lagi pelumba muda negara Ahmad Safwan Ahmad Nazeri di tempat kedua dan wakil Indonesia Dika Alif Dhentaka ketiga.

“Hari ini saya turun (berlumba) seperti hari latihan sebab Isnin ini kita akan ke Jepun untuk dua kejohanan di sana, jadi di sana adalah pertandingan yang sebenar dengan ramai pesaing antaranya barisan pelumba Jepun dan Australia.

Good to see timing dalam 200 meter (m) terakhir masih boleh catat 9.8 saat (s) walaupun not in the best condition dan saya pun tak pakai (full) race equipment lagi. John (ketua jurulatih skuad berbasikal kebangsaan John Beasley) pun gembira dengan masa itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada masa sama, pelumba berusia 36 tahun itu berkata selain menyertai kejohanan di Jepun, beliau juga akan meneruskan program latihan dengan penambahan tahap intensiti di sana, sebelum pulang ke tanah air untuk membuat persediaan menghadapi Kejohanan Trek Kebangsaan di sini yang dijadual dari 20 hingga 24 Mei ini.

Sementara itu, dalam saingan wanita menyaksikan bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut menggondol dua emas masing-masing dalam acara pecut dan keirin.

Dalam final pecut, atlet berusia 20 tahun itu yang bakal membuat debut di Sukan Olimpik 2024 di Paris Julai ini, tidak berdepan masalah menewaskan rakan senegara Nurul Aliana Syafika Azizan sebelum mengekalkan kayuhan cemerlang dalam saingan final keirin untuk meraih emas peribadi keduanya.

“Secara keseluruhan prestasi saya masih okey, tetapi saya mahu tingkatkan lagi daripada segi perkara kecil (berkaitan) teknik dan taktik. Hari ini memang saya bagi full gas sebab saya sekarang tak boleh berada dalam zon yang selesa, sentiasa kena beri yang terbaik (dalam perlumbaan),” katanya.

Azizulhasni, Nurul Izzah dan seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom merupakan tiga pelumba berbasikal trek negara yang layak beraksi di Olimpik Paris.

Perlumbaan Siri Trek ASEAN akan bersambung di sini, esok. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top