Azizulhasni selangkah ke emas

Azizulhasni selangkah ke emas


saifulaffendy@hmetro.com.my

Nilai: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang semakin hampir untuk menghadiahkan pingat emas buat negara selepas melangkah ke final acara keirin pada saingan Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, hari ini.

Pada aksi separuh akhir pertama, Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengungguli perlumbaan sekali gus menempah slot ke pentas final.

Dia berjaya mengetepikan cabaran sengit pelumba Trinidad & Tobago, Nicholas Paul serta wakil Jerman, Henric Hackmann yang turut layak ke final selepas menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik.

Hanya tiga pelumba teratas dari setiap separuh akhir layak ke final.

Pada saingan itu, Azizulhasni bermula agak perlahan sebelum melakukan henjutan padu ketika dua pusingan terakhir.

Taktikal beraninya membuahkan hasil apabila beliau berjaya memintas kelompok hadapan sebelum terus menguasai perlumbaan hingga ke garisan penamat.

Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan tiga pelumba terbaik turut mengesahkan tempat ke final diketuai wakil Jepun, Minato Nakaishi diikuti juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen serta pelumba Perancis, Rayan Helal.

Aksi final akan berlangsung jam 8.21 malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top