ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus mengorak langkah dalam saingan pecut individu apabila melepasi peringkat 1/16 sebentar tadi di Saint Quentin en Yvelines, Paris.
Dia yang dijadual bertemu pelumba Great Britain, Hamish Turnbull tidak berdepan masalah untuk memenangi perlumbaan berkenaan sekali gus mara ke pusingan 1/8 yang dijadual berlangsung 1.30 pagi nanti.
Jika berjaya melepasi saingan 1/8 Azizulhasni akan mara ke suku akhir sekali gus memperbaiki pencapaian Tokyo 2020 apabila dia terkandas di peringkat 1/8 selepas tumpas kepada pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland.
Di Tokyo juga Azizulhasni tersekat dalam repechages 1/8 selepas menduduki tempat kedua di belakang legenda Britain, Jason Kenny.
Pencapaian terbaik pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman dalam saingan pecut individu Olimpik ialah mara ke suku akhir Beijing 2008 dan London 2012.
© New Straits Times Press (M) Bhd