Azmeer terkilan nama dibuang dari lagu cover 'Manok'

Azmeer terkilan nama dibuang dari lagu cover 'Manok'


Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Gambar

Kuala Lumpur: “Dia sepatutnya tulis lagu oleh Azmeer, manakala lirik Jalil Hamid dan Azmeer,” kata komposer terkenal, Dr Azmeer mengenai dakwaan dua penyanyi yang merakamkan semula lagu popular ciptaannya, Ayam nyanyian Jalil Hamid dengan judul baharu, Manok.

Azmeer atau nama sebenarnya Mohd Azhar Abu Bakar, 59, berkata tindakan mereka secara jelas adalah pelanggaran undang-undang kerana menukar nama asal komposer dan penulis lirik kepada nama mereka.

“Memang mereka tulis lagu cover, tapi mereka ini tak tahu undang-undang. Dia tulis, lagu dengan nama mereka. Sepatutnya nama saya dan Jalil kekal dan susunan atau gubahan semula barulah nama mereka.

“Lagu (letak) nama dia (sebagai pencipta) tak boleh, salah. Itu dari sudut undang-undang salahlah. Mereka kena edit tukar semula nama asal untuk lagu (Manok) ini, bukan letak nama sendiri.

“Saya akan merujuk kepada Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Saya nak ‘sekolahkan’ mereka sikit. Buat semula lagu ini sangat dialu-alukan, tapi ambil tahulah mengenai hak cipta,” katanya kepada Harian Metro.

Azmeer yang kini bergelar Pengarah Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, walaupun mereka menokok tambah melodi lagu berkenaan, hak cipta asal tetap miliknya.

“Kira-kira 80 peratus dia ambil melodi lagu saya. (Sepatutnya) nama dia tak boleh ada langsung, royalti pun tak boleh diberi kepada dia walaupun dibuat susunan semula.

“Susunan semula dia dapat royalti rakaman, tapi royalti komposer dia tak boleh ambil. Itu masalah budak-budak sekarang yang tak peka dengan hak cipta.

“Saya harap mereka peka. Bukan saya nak ambil tindakan undang-undang. Itu bukan niat saya tapi buatlah cara betul. Ikutkan saya boleh saman, publishing company boleh saman. tapi kita bagi peluang,” katanya.

Katanya, beliau tidak melarang lagunya diambil, tetapi perlu dibuat dengan cara yang betul.

“Ini hak harta intelek. Orang lain pun pernah buat semula lagu Purnama Merindu dan lagu lain, tapi caranya betul. Lagu dan lirik letak nama pencipta dan penulis asal.

“Duit show mereka ambillah. Komposer asal pendapatannya adalah dari royalti. Jangan ambil hak harta intelek orang,” katanya.

Katanya, perkara itu diketahuinya selepas dimaklumkan penulis lirik Azam Dungun yang mendakwa lagu nyanyian dua penyanyi terbabit mempunyai melodi seperti lagu Ayam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top