Azmi Saat Kecewa Isteri Dakwa Dilayan Kasar Kakitangan Bank

Azmi Saat Kecewa Isteri Dakwa Dilayan Kasar Kakitangan Bank


Penyanyi Caliph Buskers iaitu Azmi Saat meluahkan rasa kesal berikutan isterinya didakwa menerima layanan kasar daripada seorang kakitangan bank di Cheras.

Menerusi perkongsian di Instagram, Azmi berkata mereka ke bank untuk mengaktifkan perkhidmatan transaksi dalam talian akaun milik isterinya kerana lama tidak digunakan.

BACA: Azmi Saat Tak Ambil Hati Gurauan Jihan Muse, Nabil

Bagaimanapun, Azmi mendakwa kakitangan kaunter sejak awal sudah menunjukkan sikap tidak mesra walaupun mereka orang kurang upaya (OKU)

“Ketika di bank berkenaan, isteri saya perlu berurusan di kaunter dan biasalah apabila kami ini tidak nampak mesti kena ambil masa. Tapi, cepat sangat kakitangan itu memanggil nombor individu lain yang berikutnya.

“Kami yang tidak boleh melihat ni sangat bergantung kepada nada kalian bercakap. Kalau nada kalian baik, maka baiklah persepsi kami pada kalian. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata sebagai pengawai khidmat pelanggan sudah pasti mempunyai kemahiran komunikasi yang baik apatah lagi sudah berurusan dengan ramai pelanggan.

“Elakkan gunakan nada rumahan atau kampungan waktu melayan pelanggan. Kalau di kampung boleh saja nak kata, “Aku ni memang macam ni. Cakap memang kasar.”

“Sangat berbeza bila kalian bekerja. Bila nadanya tidak betul, tiada perkataan lain dari kami untuk kalian selain Kurang Ajar,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata dia tidak mahu perbesarkan hal berkenaan namun sudah banyak kali mereka menerima layanan kurang baik.

“Saya tidak suka nak marah-marah di media sosial. Tapi tak boleh tahan sebab dah beberapa kali dapat layanan yang kurang baik dari pegawai khidmat pelanggan.

“Apa yang mahu kami tegaskan, kami hanya buta bukan bodoh. Tolong layan kami sebagai orang yang tak bodoh,” katanya.






Source link

OR

Scroll to Top