May 20, 2024

Azmin nafi ‘gag order’ calon PN elak media


KUALA KUBU BAHARU – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan bahawa wujud arahan (gag order) kepda calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut untuk mengelak daripada media.

Beliau berkata, Khairul Azhari terpaksa mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan pengundi-pengundi di beberapa kawasan di Kuala Kubu Baharu.

“Tidak ada gag order. Saya sebut sebelum ini memang dari semasa ke semasa kita bertemu dan menyampaikan beberapa penerangan kepada media yang merupakan rakan penting dalam situasi kempen ini untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan adil kepada pengundi sebelum mereka buat keputusan esok.

“Cuma hari ini beliau terpaksa bergegas ke banyak kawasan kerana setelah kita buat culaan dan ziarah, kita dapat kesan ada beberapa kawasan yang mahu bertemu sendiri dengan calon sekurang-kurangnya mereka dapat mengenali calon tersebut,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas menghadiri program munajat bersama PN di bilik gerakan utama (BGU) di Bandar Utama, Batang Kali.

Media hari ini melaporkan Khairul Azhari enggan memberi komen kepada media mengenai kempen hari terakhir PRK Kuala Kubu Baharu.

Malah seorang pengiring Khairul Azhari berkata, calon tidak akan bercakap dengan media sehingga PRK tamat.

Seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) esok.

Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka pada jam 8 pagi hingga jam 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi akan ditutup pada jam 2 petang.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – MalaysiaGazett



Source link

OR

Scroll to Top