JERANTUT: Remaja lelaki yang ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ketika melakukan aktiviti memancing di Kampung Jerantut Feri di sini pada Sabtu lalu sempat membuat hantaran melalui aplikasi WhatsApp memohon maaf dengan rakan sekolahnya sehari sebelum kejadian.
Rakan sekelasnya, Aidil Hakim Muhammad Shaiful, 14, berkata, mangsa, Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi memohon maaf pada sebelah malam Jumaat lalu kepada semua rakannya secara peribadi sekiranya ada kesilapan dan perkara yang menyentuh perasaan masing-masing.
“Saya terkejut pada petang hari Sabtu apabila menerima perkhabaran sedih ini seolah-olah tidak percaya kejadian menimpa Azri Fahmi,” katanya ketika diitemui di Tanah Perkuburan Mat Kilau, dekat bandar Jerantut hari ini.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Azri Fahmi dipercayai tergelincir berdekatan sebuah rakit dan terjatuh ke dalam Sungai Pahang dan dihanyutkan arus ketika memancing bersama rakannya.
Mayat pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin tersebut ditemukan pada jarak kira-kira 800 meter daripada tempat dia dilaporkan terjatuh pada pukul 7.45 pagi hari ini oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Menurut Aidil Hakim, arwah juga membuat beberapa hantaran berkaitan kematian melalui aplikasi Tiktok dengan menggunakan akaunnya ‘@azrikecikss’ kepada rakan-rakannya.
“Arwah membuat beberapa hantaran semula melalui aplikasi itu dengan menggunakan akaunnya menulis, “Hmm kenapa sejak dua hari ni rasa macam diketepikan + tak sedap hati, apakah aku perlu siap untuk dibaringkan depan imam?,” katanya.
Dia berkata, allahyarham turut membuat hantaran semula, dengan menyebut ‘Bila kematian datang lebih awal ke diriku, maafkan aku wahai sahabat dan wanita yang kucintai’.
Menurutnya, dia juga membaca satu lagi hantaran semula, ‘Ku katakan sekali lagi, aku mencintai mu dengan tulus dan tidak sedikit pun niat dalam hatiku untuk meninggalkanmu’.
Sementara itu, abang mangsa, Azri Aziran Zaiful Afindi, 17, bergegas pulang ke Jerantut setelah selesai menduduki Kertas Bahasa Inggeris Satu dan Dua di Sekolah Sukan Pahang Gambang, Kuantan untuk menghadiri pengebumian adiknya pada pukul 6 petang hari ini. – UTUSAN