Kaseh Carlmila meledak dua gol ketika kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 dengan kemenangan 2-0 ke atas Guam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Ahad.
SKUAD bola sepak Bawah 20 Tahun (B-20) negara menutup tirai kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 dengan kemenangan 2-0 ke atas Guam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Ahad.
Dua jaringan penyerang sensasi muda, Kaseh Carlmila pada minit ke-64 dan 86 sudah cukup memastikan tiga mata berharga buat skuad kendalian Cameron Ng meskipun cabaran negara terhenti selepas tewas dua aksi terdahulu Kumpulan F.
Anak buah Cameron memulakan perlawanan dengan corak menyerang agresif memburu kemenangan sulung, namun kegagalan memanfaatkan deretan peluang selain disiplin taktikal Guam menyukarkan usaha memecah kebuntuan pada babak pertama.
Bagaimanapun, keampuhan serangan negara akhirnya membuahkan hasil pada separuh masa kedua apabila Kaseh meledak dua gol untuk memastikan kemenangan bersih ke atas lawan yang turut tewas dalam dua perlawanan awal kumpulan.
Sebagai rekod, Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan kekalahan 0-3 kepada Iran sebelum dibelasah 0-16 oleh gergasi Asia, Jepun, dalam aksi kedua.