Justin tewas kepada pemain Indonesia pada pusingan kedua BAC di China pada Khamis. Foto BAC 2025.
IMPIAN pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 tidak kesampaian setelah ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua sebentar tadi.
Pemain di ranking ke-48 dunia itu terpaksa akur selepas tewas kepada jaguh Indonesia, Jonatan Christie, dalam aksi straight set di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China.
Berdasarkan statusnya sebagai pemain keempat terbaik dunia, Jonatan nyata tidak berdepan masalah untuk mendominasi set pertama dengan kemenangan 21-13.
Bagaimanapun, Justin bangkit memberi saingan pada set kedua, namun pengalaman memihak kepada Jonatan yang berjaya mengesahkan kemenangan 21-19, sekali gus menamatkan perlawanan dalam tempoh 45 minit.
Walaupun tersingkir, Justin yang berusia 21 tahun wajar dipuji apabila mempamerkan semangat juang tinggi, selain memperoleh pengalaman berharga apabila buat kali pertama menentang pemain dalam kelompok lima terbaik dunia.
Nasib sama turut menimpa seorang lagi wakil perseorangan negara, Goh Jin Wei apabila tewas kepada wakil Thailand, Supanida Katethong 21-15, 21-16 dalam masa 35 minit perlawanan.