Pearly Tan dan M Thinaah tewas kepada pasangan nombor sembilan dunia dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min dengan straight set 21-13, 21-15.
CABARAN Malaysia dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 berakhir selepas ketiga-tiga pasangan negara tersingkir pada saingan suku akhir di Ningbo, China, pada Jumaat.
Dalam aksi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, beregu wanita negara yang juga pilihan kedua, Pearly Tan dan M Thinaah tewas kepada pasangan nombor sembilan dunia dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min dengan straight set 21-13, 21-15.
Ia adalah kekalahan kedua pasangan Malaysia itu kepada gandingan China berkenaan dalam tiga pertemuan.
Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dalam perlawanan sengit selama satu jam 23 minit.
Pasangan nombor dua dunia itu bangkit memenangi set kedua untuk mengheret aksi ke set penentuan, namun gandingan Korea Selatan yang berada di kedudukan ke-22 dunia berjaya mengawal permainan untuk meraih kemenangan 21-19, 16-21, 21-13.
Terdahulu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tersingkir pada peringkat suku akhir. – Bernama






