Baca surah al-Ikhlas lepas salam solat tarawih

Baca surah al-Ikhlas lepas salam solat tarawih


– Advertisement –

TELAH diamalkan pada sebahagian negeri umat Islam ketika bulan Ramadan apabila imam dan makmum telah selesai dari menunaikan empat rakaat solat tarawih maka mereka akan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali dan selepas itu barulah mereka bangun untuk menyambung solat tarawih tersebut dan apabila selesai pula dari empat rakaat membaca mereka akan membaca pula surah Al-Ikhlas.

– Advertisement –

Sungguhnya amalan ini adalah harus dan sangat elok diamalkan kerana ada pada amalan ini sekurang-kurangnya tiga kelebihan dan ganjaran pahala.

Kelebihan yang pertama

Mereka mendapat kelebihan dan pahala menunaikan solat tarawih.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: ” مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Ertinya: “Sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda: Barangsiapa mendirikan solat di bulan Ramadan kerana iman dan kerana mengharapkan keredhaan Allah nescaya akan diampunkan baginya apa yang telah berlalu daripada dosanya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Kelebihan yang kedua

Mereka akan mendapat kelebihan dan pahala membaca Al-Quran kerana surah Al-Ikhlas adalah surah daripada Al-Quran maka siapa yang membacanya adalah dikira membaca akan Al-Quran.

Telah diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili r.a. beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Ertinya: “Aku telah mendengar akan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda: Bacalah kamu sekelian akan Al-Quran maka sungguhnya Al-Quran akan datang pada hari kiamat memberi pertolongan kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sungguhnya perintah syarak supaya dibaca akan Al-Quran seperti dalam hadis tersebut ialah atas jalan umum yakni tidak ada dikaitkan dengan waktu tertentu atau tempat tertentu melainkan pada waktu yang datang nas melarangnya seperti ketika sedang berhadas besar atau dilarang pada tempat tertentu seperti di dalam tandas dan seumpamanya.

Siapa yang membaca Quran pada waktu pagi atau tengahari atau petang atau malam atau subuh maka dia akan mendapat semua ganjaran yang telah disebut dalam nas-nas yang telah masyhur.

Begitu juga siapa yang membaca Quran di rumah atau di masjid atau di pasar atau di pejabat atau di pantai atau di padang atau di atas bukit atau di bawah lembah atau lainnya maka dapat baginya segala ganjaran yang dijanjikan ke atas pembaca Quran.

Maka begitu juga jika dibaca akan surah Al-Ikhlas selepas empat rakaat solat tarawih nescaya pembacanya juga akan mendapat syafaat Al-Quran pada hari kiamat nanti kerana siapa yang membaca akan surah Al-Ikhlas nescaya dia telah termasuk orang yang membaca Al-Quran.

Kelebihan yang ketiga

Mereka akan mendapat kelebihan dan pahala membaca surah Al-Ikhlas.

Sangatlah banyak datang pada hadis menyebut kelebihan surah Al-Ikhlas dan kelebihan membacanya.

Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. beliau berkata: Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda kepada para sahabatnya:

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ القُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ؟» فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا: أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَقَالَ: اللَّهُ الوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ القُرْآنِ

Ertinya: “Adakah melemahkan kamu sekelian kalau membaca satu pertiga dari Quran pada satu malam? Maka jadi keberatan yang demikian itu atas mereka dan berkata mereka: Manakah antara kami yang mampu melakukan yang demikian itu wahai Rasulullah? Lalu Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda: Surah Qul Huwallahu Ahad itu satu pertiga dari Al-Quran.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Dan pada satu lagi riwayat daripada Abu Said Al-Khudri r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:

يَقْرَأُ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَهِيَ ثُلُثُ الْقُرْآنِ

Ertinya: “Membaca akan Qul Huwallahu Ahad itu maka ialah satu pertiga Quran.” (Riwayat Imam Ahmad)

Dan pada hadis Abu Darda’ r.a. adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ

Ertinya: “Qul Huwallahu Ahad itu menyamai satu pertiga Quran.” (Riwayat Imam Muslim)

Kesimpulannya amalan membaca tiga kali surah Al-Ikhlas tiap kali selepas salam dari solat tarawih itu adalah amalan yang sangat baik dan dapat bagi mereka pahala seperti membaca sekali khatam Al-Quran.

Dan ditambah lagi adalah orang-orang yang membaca surah Al-Ikhlas di celah-celah rakaat solat tarawih itu juga termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapat rahmat dan akan dikelilingi oleh para malaikat.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ

Ertinya: “Dan meliputi akan orang yang membaca ayat Quran itu oleh rahmat dan mengelilingi mereka itu oleh para malaikat.” (Hadis riwayat Muslim)

Sekalipun tidak ada diperintah dengan khusus membaca surah Al-Ikhlas ketika solat tarawih tetapi siapa yang membacanya ketika itu maka dia juga termasuk orang yang membaca Quran dan dia akan mendapat segala kelebihan yang datang di dalam hadis pada kelebihan dan pahalanya.

Apabila Nabi sollallahu alaihi wasallam menyuruh baca Al-Quran tanpa mengaitkan dengan masa tertentu atau tempat tertentu sama ada di rumah atau di masjid atau di pejabat atau di hutan belantara dan sama ada dibaca waktu pagi atau waktu petang atau ketika berjalan atau ketika berkenderaan atau dibaca ketika solat dhuha atau solat tarawih atau solat hajat sama ada di dalam segala solat tersebut atau selepasnya maka semuanya dikira telah melakukan perbuatan yang baik yang termasuk dalam suruhan agama.

Barangsiapa yang berkata boleh baca surah Al-Ikhlas tetapi dilarang ketika solat tarawih maka orang itu adalah memandai-mandai buat rekaan dalam hukum agama.

Bahkan orang-orang yang membaca akan surah Al-Ikhlas tersebut adalah orang-orang dikasih oleh Allah kerana sabit dalam hadis Aisyah r.a riwayat Imam Bukhari dan Muslim tentang seorang lelaki dari sebuah kampung yang suka membaca surah Al-Ikhlas setiap masa lalu Nabi sollallahu alaihi wasallam berpesan: أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ ertinya: Beritahu kamu sekalian akan lelaki itu sungguhnya Allah sangat kasih kepadanya.”

Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam tidak menyuruh lelaki tersebut membaca surah Al-Ikhlas pada setiap masa tetapi lelaki itu yang memilih untuk mengamalkannya dan Nabi sollallahu alaihi wasallam memujinya pada lelaki tersebut telah melakukan suatu amalan yang tidak disuruh oleh Nabi sollallahu alaihi wasallam.

Ketahui olehmu bahawa membaca surah Al-Ikhlas itu adalah termasuk zikrullah dan amal kebaikan maka tidak ada yang melarang akan orang lain daripada zikrullah dan daripada berbuat kebaikan melainkan orang-orang telah tersalah jalannya dan bukan ia dari jalan orang-orang mukmin dan dibimbangi adalah orang yang tidak suka kepada orang yang membaca Quran itu adalah dari kalangan orang munafik.

Firman Allah Taala:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ

Ertinya: “Sekalian munafik lelaki dan perempuan itu sebahagian mereka dari sebahagian mereka menyuruh perkara munkar dan melarang dari kebaikan.” (Surah An-Nur: 108)

Dan sungguhnya dengan Al-Quran itu Nabi sollallahu alaihi wasallam akan membawa manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya.

Firman Allah Taala:

كِتابٌ أَنزَلناهُ إِلَيكَ لِتُخرِجَ النّاسَ مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ

Ertinya: “Kitab Al-Quran yang telah Kami turunkannya kepadamu wahai Muhammad supaya kamu keluarkan akan manusia dari segala kegelapan kepada cahaya.” (Surah Ibrahim: 1)

Maka siapa yang melarang membaca Al-Quran di mana sahaja pun sungguhnya dia termasuk golongan yang tidak suka manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya dan iaitulah perangai iblis dan tenteranya.

Dan lagi adalah orang yang membaca akan Al-Quran itu akan bersama dengan malaikat yang mulia.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. beliau berkata Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:

الذي يقرأ القرآن وهو ماهر به مع السفرة الكرام البررة

Ertinya: “Orang yang membaca Quran dan dia pandai membacanya maka dia akan bersama para malaikat yang mulia.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kesimpulannya amalan membaca surah Al-Ikhlas setiap kali selesai dari empat rakaat solat tarawih adalah harus dan begitu juga harus jika dibaca akan surah yang lain atau berzikir atau berdoa atau berselawat atau memberikan tazkirah seperti yang diamalkan pada sebahagian masjid dan musolla.

Bahkan jika tidak dilakukan apa-apa oleh jemaah selepas salam dari setiap empat rakaat solat tarawih hanya duduk mereka itu berehat-rehat sahaja maka hukumnya tidaklah menjadi kesalahan.

Dan barangsiapa melarang orang membaca surah Al-Ikhlas di antara rakaat-rakaat tarawih itu maka sungguhnya dia adalah ahli bidaah.

Berkata Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah:

فقراءة ﴿قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ﴾ ثلاثًا في ترويحة صلاة التراويح أمرٌ مشروعٌ لا ابتداع فيه، ومن ادَّعى أن ذلك بدعة فهو إلى البدعة أقرب

Ertinya: “Maka bacaan Qul Huwallahu Ahad tiga kali pada ketika rehat dari rakaat-rakaat solat tarawih itu ialah perkara yang disyariatkan tidak ada bidaah padanya. Dan siapa yang mendakwa bahawa yang demikian itu adalah bidaah maka dialah yang sebenarnya lebih dekat kepada ahli bidaah.” (Darul Ifta Mesir)

Walahua’lam. – HARAKAHDAILY 1/1/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top