syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kes badan penyelam Peru yang didakwa ‘mengembung’ akibat penyakit penyahmampatan atau decompression sickness (DCS) tidak pernah direkodkan berlaku dalam kalangan penyelam di Malaysia.
Pengarah Kursus The Professional Association of Diving Instructors (PADI), Muhamad Abdullah berkata, DCS hanya terbahagi kepada dua kategori iaitu ‘Type 1’ atau ‘Type 2’ dan kedua-duanya tidak menyebabkan tubuh membesar atau mengembang seperti dakwaan individu berkenaan.
Menurutnya, Type 1 membabitkan gejala seperti ‘the bends’ iaitu anggota badan menjadi bengkok atau rasa sakit pada sendi, manakala ‘Cutis Marmorata’ pula menyebabkan kulit menjadi seperti berpeta.
“Kemudian Type 2 pula membabitkan gangguan neurologi atau pulmonari. Maksudnya ia gangguan pada sistem saraf yang menyebabkan penyelam hilang keseimbangan atau sukar berdiri tegak.
“Bagi kategori pulmonari pula membabitkan gangguan pada fungsi paru-paru.
“Kedua-dua kategori ini termasuk dalam klasifikasi Type 2 bagi DCS,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, bengkak ekstrem pada badan seperti kes di Peru itu bukan ciri DCS dan lebih berkemungkinan berpunca daripada faktor lain yang tidak berkaitan dengan nitrogen dalam badan.
Muhamad yang juga seorang pengajar penyelam keselamatan awam menjelaskan, dalam kes berkenaan adalah wajar untuk mengkaji semula dakwaan individu itu kerana gejala ditunjukkan tidak konsisten dengan kes DCS yang diketahui dalam komuniti selam.
“Keadaan tubuh penyelam yang jadi ‘kembung’ itu tak termasuk dalam DCS, kemungkinan besar ia membabitkan tindak balas lain, termasuk penggunaan bahan terlarang…DCS tidak menyebabkan tubuh kembung seperti itu.
“Ia juga tidak pernah berlaku di Malaysia dan saya rasa tidak juga berlaku di dunia. Saya berpendapat dakwaan itu perlu dikaji semula, sama ada ia kembung sebab DCS atau sebab lain,” katanya.
Beliau berkata, di Malaysia memang terdapat kes DCS tetapi ia hanya membabitkan simptom yang lazim iaitu ‘the bends’ atau ‘Cutis Marmorata’ untuk Type 1.
Katanya, Type 2 juga pernah berlaku namun kebanyakannya membabitkan penyelam komersial yang terdedah kepada tekanan kerja yang lebih tinggi.
Beliau berkata, penyelam rekreasi juga boleh mengalami DCS tetapi gejalanya jauh lebih ringan dan tidak membabitkan perubahan fizikal melampau.
“Ketika menyelam, oksigen menjalani pertukaran gas dan dikeluarkan sebagai karbon dioksida, manakala nitrogen mengisi ruang dalam badan di bawah tekanan air.
“Oleh itu, penyelam perlu naik perlahan bagi membolehkan nitrogen keluar sedikit demi sedikit kerana jika terlalu cepat, ia akan terperangkap dan membentuk gelembung.
“Jika ia berlaku pada tulang, keadaan itu dikenali sebagai ‘the bends’, manakala pada kulit ia membentuk corak seperti peta. Namun ia tidak menyebabkan kulit mengembung seperti yang didakwa individu berkenaan,” katanya.
Terdahulu, media Oddity Central melaporkan seorang penyelam makanan laut dari Peru, Alejandro ‘Willy’ Ramos Martínez, mengalami masalah kesihatan luar biasa apabila tubuhnya membengkak akibat poket nitrogen selepas naik ke permukaan terlalu cepat.
Keadaan itu dikaitkan dengan DCS, gangguan yang berlaku apabila seseorang mengalami penurunan tekanan persekitaran secara mendadak.
© New Straits Times Press (M) Bhd





