PENGENDALI West Ham, Nuno Espirito Santo telah melarang pemain sayapnya, Adama Traore daripada melakukan sebarang aktiviti angkat berat di pusat latihan kelab tersebut.
Susuk tubuh sasa pemain berusia 30 tahun itu disifatkan sebagai ‘luar biasa’ oleh Nuno, namun dia memberi amaran bahawa Traore sebenarnya sudah mempunyai berat badan serta saiz otot yang lebih daripada mencukupi.
Sebelum ini, pemain kelahiran Sepanyol itu pernah mencetuskan perdebatan apabila mendakwa secara mengejutkan bahawa dia tidak melakukan latihan angkat berat untuk membina badan.
Bagaimanapun, rakan sepasukannya, Crysencio Summerville telah memuat naik sebuah video di media sosial yang memaparkan Traore sedang melakukan bench-press (tujahan dada) bebanan seberat 145 kilogram di pusat latihan kelab di Rush Green, minggu lalu.
“Fizikalnya sangat luar biasa, ia adalah genetik. Tetapi genetiknya sudah seperti ini sejak sekian lama dan dia sepatutnya mengelak daripada pergi ke gimnasium.
“Saya sudah beritahu dia supaya jauhkan diri dari gimnasium. Ia adalah salah satu perkara yang saya rasa dia perlu sedar. Berat (otot) yang dibawanya ketika ini sudah memadai.
“Dia hanya akan melakukan senaman lain di dalam gimnasium, tetapi dia tidak berada di sana untuk mengangkat bebanan berat,” kata Nuno.
Sebagai perbandingan, Nuno turut merujuk kepada situasi pemain pertahanan skuad Bawah 21 Tahun, Airidas Golambeckis yang memerlukan latihan seumpama itu.
“Sebagai contoh, Airidas menghabiskan masa berjam-jam di gimnasium kerana kami perlu menambah berat badannya. Dia yang perlukan otot, namun situasi Traore adalah sebaliknya,” ujarnya.
Ringkasan AI
- PENGENDALI West Ham, Nuno Espirito Santo melarang Adama Traore melakukan aktiviti angkat berat
- Traore mempunyai susuk tubuh sasa yang dianggap lebih daripada mencukupi oleh Nuno
- Rakan sepasukan Traore, Crysencio Summerville memaparkan video Traore melakukan bench-press seberat 145 kilogram
- Nuno menyatakan Traore perlu elak dari gimnasium dan hanya akan melakukan senaman lain
- Contoh lain, pemain bawah 21 tahun, Airidas Golambeckis, memerlukan latihan angkat berat untuk menambah berat badan berbeza dengan situasi Traore






