Badang Perlis pecah rekod kebangsaan acara snatch di China

Badang Perlis pecah rekod kebangsaan acara snatch di China


KANGAR: Badang dari Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin, 20, terus mencipta sensasi apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara snatch kategori 81 kilogram (kg) pada Kejohanan Asian Weightlifting Championship 2025 di China, semalam.

Jaguh angkat berat negara itu cemerlang dengan melakukan angkatan seberat 155 kg pada percubaan ketiga sekali gus memecahkan rekodnya miliknya sendiri 152 kg yang dilakukan dalam Kejohanan Egat King’s Cup (Junior) International Weightlifting Championships 2024 di Phayao, Thailand, pada Oktober tahun lalu.

Angkatan tersebut, menyaksikan Muhammad Hafizuddin menduduki kedudukan keempat Asia di belakang atlet dari China di tempat pertama dengan angkatan 162 kg, kedua dari Indonesia (161 kg) dan ketiga dari Korea Selatan (157 kg).

Sebelum ini, Muhammad Hafizuddin pernah mencetuskan fenomena luar biasa pada temasya Sukma Sarawak selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kg dengan angkatan keseluruhan 332 kilogram.

Angkatan seluruhan 334 kilogram itu menyaksikan Muhammad Hafizuddin menjadi prospek pingat dalam temasya Sukan SEA, di Thailand tahun ini selain Sukan Komanwel Glasgow, Scotland pada 2026.

Muhammad Hafizuddin berkata, kejayaan memecahkan rekod itu mendorongnya lebih bersemangat bagi melakar kejayaan dalam Sukan SEA dan Komanwel selepas ini.

Katanya, dia akan terus giat menjalani latihan untuk terus memecahkan rekod selepas ini.

“Alhamdulilah, saya sekali lagi berjaya memecahkan rekod kebangsaan selepas melakukannya di Thailand Oktober tahun lalu. Selepas ini sasaran saya untuk merangkul pingat di Sukan SEA, Thailand,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top