Badi juara EPL masih selubungi Arsenal

Badi juara EPL masih selubungi Arsenal


BEKAS pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengakui tidak yakin sama ada The Gunners akan berjaya memintas Liverpool dan merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Arsenal ketika ini ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool dan jurang itu bakal menjadi lebih lebar sekiranya The Reds berjaya melakar kemenangan ke atas Aston Villa pada awal pagi Khamis.

Pasukan kendalian Mikel Arteta akan berdepan perlawanan mencabar apabila menerima kunjungan West Ham United pada hujung minggu ini sebelum bertemu Nottingham Forest dan Manchester United di tempat lawan.

Wenger berjaya membawa Arsenal memenangi tiga kejuaraan EPL selepas membimbing pasukan itu selama 22 tahun selain membawa mereka ke kempen ‘invincibles’ luar biasa pada 2003/04.

Ia kekal menjadi kejuaraan terakhir pasukan London Utara dinobatkan sebagai juara EPL dan badi itu masih gagal dipecahkan setakat ini.

Wenger mengakui Arsenal perlu mengharapkan Liverpool tewas beberapa perlawanan untuk membolehkan mereka memenangi EPL musim ini.

“Liverpool perlu kalah dalam beberapa perlawanan tetapi kini saingan liga sudah 25 perlawanan dan Liverpool hanya kalah satu perlawanan.

“Jadi, mereka (Liverpool) perlu tewas tiga sekurang-kurangnya dalam 13 perlawanan akan datang.

“Pada masa ini ia kelihatan tidak mungkin melainkan mereka mengalami kemerosotan prestasi. Tetapi sehingga kini mereka hanya kalah satu perlawanan. Jadi mereka menjadi pasukan kegemaran untuk menang.

“Selain itu, Arsenal perlu konsisten dan menang semua perlawanan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top