Badrul Afzan bangga TFC mampu saingi JDT

Badrul Afzan bangga TFC mampu saingi JDT


Badrul Afzan memuji tahap disiplin pasukan Terengganu terutamanya aksi yang dipamerkan benteng pertahanan yang rata-ratanya dibarisi pemain tempatan. Foto FB Johor Southern Tigers

PENGENDALI Terengganu FC, Badrul Afzan Razali tetap bangga dengan komitmen tinggi pemain skuad Penyu hingga mampu menyaingi penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu.

Katanya, biarpun tersingkir setelah tewas 1-2 (1-6 secara agregat), beliau tetap percaya pemain skuad peteh ganu peteh itu semakin matang hingga adakalanya mengundang cemas kepada benteng pertahanan skuad Harimau Selatan.

“Sejujurnya sejak awal kita mengetahui kesukaran beraksi di Stadium Sultan Ibrahim laman JDT ditambah pula ketinggalan empat gol.

“Biarpun begitu saya berpuas hati kerana pemain menunjukkan semangat juang tinggi pada babak pertama dan kedua permainan.

“Biarpun kita berjaya mengikat lawan 1-1 di babak kedua, tetapi pada minit-minit akhir permainan kita hilang konsentrasi dan akhirnya membuka ruang buat pemain JDT menjaringkan gol yang juga merupakan gol kemenangan mereka…memang perit kerana kita menjangkakan perlawanan bakal berakhir dengan keputusan seri,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi separuh akhir kedua itu, hasrat Terengganu untuk ke final Piala Malaysia tidak kesampaian setelah tewas 1-2 kepada JDT yang sekali gus menyaksikan anak buah Hector Bidoglio mara ke final dengan agregat 6-1 setelah kemenangan selesa 4-0, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 17 Januari lalu.

Sementara itu, Badrul Afzan turut memuji tahap disiplin pasukan Terengganu terutamanya aksi yang dipamerkan benteng pertahanan yang rata-ratanya dibarisi pemain tempatan.

“Biarpun benteng kita dikawal oleh pemain-pemain tempatan, tetapi mereka juga telah beraksi dengan baik bagi mengekang asakan-asakan daripada rangkaian penyerang JDT.

“Saya juga menekankan kepada pemain supaya kekal fokus dalam permainan dan tidak melakukan kesilapan mudah bagi mengelakkan pintu gol kita dibolosi dengan banyak,” katanya.



Source link

OR