sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali meletakkan harapan tinggi agar kehadiran import baharu nanti mampu memberikan impak lebih positif buat skuad bimbingannya.
Ia selepas aksi longlai diperagakan ketika dimalukan Sabah FC, 1-3 pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Ketiadaan ‘arkitek’, Nurillo Tukhtasinov yang tidak dapat diturunkan akibat kecederaan menyaksikan skuad Penyu itu bagaikan hilang nakhoda selepas pemain yang menggantikan posisi pemain kelahiran Uzbekistan itu, Kyaw Min Oo gagal menyerlah.
“Kami sudah senarai pendek pemain import baharu, jadi dengan kehadiran mereka diharap mampu memberikan impak lebih positif pada pusingan kedua nanti.
“Pada masa sama, kami mengharapkan pemain baharu nanti dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan selain mampu menggalas tugas dengan lebih baik sebagaimana Tukhtasinov,” kata Badrul Afzan selepas tamat perlawanan malam tadi.
TFC terlebih dahulu meledak gol menerusi Akhyar Rashid pada babak pertama sebelum lawan bangkit meledak tiga jaringan menerusi Fergus Tierney dan dua jaringan Adjin Mujagic.
Badrul Afzan mengakui kecewa dengan corak permainan anak buahnya yang bagaikan ‘merelakan’ lawan melakar kemenangan biarpun peluang untuk memburu tiga mata terbuka luas.
“Kami mencipta banyak peluang tapi tidak berjaya menjaringkan gol, itu masalah utama pasukan pada malam ini (malam tadi).
“Pada masa sama, saya dapati pemain melakukan kesalahan iaitu terlalu mudah memberikan peluang kepada lawan menjaringkan gol pertama dan kedua.
“Jadi kesilapan itu membolehkan Sabah FC meraih kemenangan di tempat kami. Secara keseluruhannya saya kecewa dengan corak permainan mereka sama ada pada babak pertama dan kedua,” kata Badrul Afzan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






