rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru : Meskipun tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali tetap bangga dengan komitmen barisan pemainnya yang mampu menyaingi kehebatan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Badrul Afzan berkata, kekalahan 1-2 dan tewas dengan agregat 1-6 kepada skuad kendalian Hector Bidoglio pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, semalam membuktikan pemainnya mampu mengundang cemas buat skuad Harimau Selatan.
“Kita tahu sukar nak beraksi di stadium JDT ditambah pula ketinggalan 0-4 tapi saya menzahirkan rasa berpuas hati kepada pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi pada babak pertama dan kedua permainan.
“Walaupun kita berjaya mengikat 1-1 di babak kedua tapi minit akhir permainan kita hilang konsentrasi dan membuka ruang buat pemain JDT menjaringkan gol yang juga jaringan kemenangan mereka. Memang perit kerana jangkaan kita akan tamatkan perlawanan dengan keputusan seri,” katanya.
Pada aksi itu, JDT memulakan jaringan pada minit ke-31 hasil jaringan Heberty Fernandes namun TFC bangkit menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Ismaheel Akidane pada minit ke-49 dan ketika skuad Penyu tampak ingin menamatkan permainan dengan keputusan seri, Heberty memusnahkan impian kelab dari Pantai Timur selepas menjaringkan gol kemenangan buat JDT pada minit ke-92 masa tambahan.
Mengulas lebih lanjut, beliau jelas gembira dengan peranan benteng pertahanan yang dibarisi pemain tempatan mampu mengekang asakan barisan pemain import JDT yang begitu rakus mengasak ke kubu skuad Penyu di setiap sudut kiri dan kanan.
Tambahnya pada aksi itu, beliau mempertaruhkan lima pemain pertahanan ketika aksi Liga Super baru-baru ini dan mempraktikkan kali kedua pada aksi separuh akhir dan perancangan itu membuahkan hasil apabila barisan serangan JDT bagaikan hilang punca untuk menembusi keampuhan benteng.
“Saya menekankan kepada pemain supaya fokus dalam permainan dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh mengakibatkan kita dibolosi kerana lawan yang dihadapi adalah JDT malah pemain mengikut taktikal yang dirancang,” katanya.
Mengulas mengenai kelibat penyerang import Ivan Mamut yang masih belum dapat diturunkan, Badrul Afzan mengesahkan pemain itu bakal beraksi pada bulan Mac ini tatkala masih dalam proses pemulihan.
“Buat masa ini, Ivan hanya melakukan latihan ringan bersama pegawai fisioterapi dan saya tidak terlalu mendesak untuk menggunakan khidmatnya, biarlah dia pulih sepenuhnya sebelum kembali berlatih berama rakan sepasukan,” ujar Badrul Afzan.
© New Straits Times Press (M) Bhd