MASIH ramai dalam kalangan umat Islam yang keliru berkenaan perihal bercinta sebelum berkahwin, apakah Islam tidak membenarkannya?
Jika diharamkan bercinta, bagaimana pula kita nak dapatkan rasa suka pasangan tersebut?
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dalam ajaran Islam, jatuh cinta pada pasangan yang akan dijadikan isteri atau suami adalah tidak dilarang.
“Apa yang dilarang adalah couple atau berdua-duaan.
“Couple dilarang, namun bercinta tidak dilarang. Bila bercinta, ia bermakna kita hendak kahwin dengannya,” jelasnya dalam rakaman di YouTube baru-baru ini.
USTAZ AZHAR
Menurutnya, sebagai contoh, seseorang itu melihat wanita dan dia berkenan dengannya.
“Selepas berkenan, akan datang suka dan selepas sebulan, biasanya akan datang perasaan suka.
“Selepas datangnya rasa suka, akan datang pula rasa cinta. Maksud cinta di sini kita mahukan supaya dapat jadi suami dia dan hidup bersama dengannya. Bila dah rasa cinta, automatik akan datang rasa sayang dan hukumnya harus,” hurainya.
Jelas pendakwah itu, apa yang haram ialah apabila dah ada rasa cinta dan sayang, diajaknya berdua-duaan.
“Itu haram kerana Nabi bersabda, tidak boleh berdua-duaan dengan perempuan melainkan ada mahram (sebagai peneman).

DIBOLEHKAN untuk bercinta namun ditegah daripada berdua-duaan. Foto Canva
“Nak jumpa kekasih di hadapan kedai ikan, hukumnya harus. Ini tak, jumpa dalam kereta yang gelap. Biasanya buat apa jika berdua-duaan dalam kereta yang jauh daripada orang?” soalnya.
Ustaz Azhar menambah, itulah sikap orang lelaki yang dijadikan untuk suka kepada wanita seperti firman ALLAH SWT dalam ayat ke-14 surah Ali Imran:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.”

ISLAM melarang pasangan berdua-duaan tanpa ikatan yang sah melainkan bersama mahram. Foto Canva
“Jadi silakan (untuk bercinta) dan tidak mengapa jatuh cinta. Tapi kena ingat kamu hanya boleh jatuh cinta kepada perempuan yang kamu hendak jadikan dia pasangan yang halal.
“Jangan jatuh cinta pada isteri orang dan tunang orang. Jangan (pula) cari perempuan untuk suka-suka. Ia haram dan tidak dibolehkan,” jelasnya lagi.