ferzalfie@hmetro.com.my
Sepang: Francesco Bagnaia mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas hari ini bagi saingan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia sekali gus menjadi pembakar semangat menjelang perlumbaan sebenar Ahad ini tatkala pencabarnya, Jorge Martin, terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua terpantas selepas terjatuh di pusingan terakhir.
Pelumba Prima Pramac Racing dari Sepanyol itu kini mendahului Bagnaia, dengan kelebihan 17 mata, dan hanya tinggal satu perlumbaan selepas berakhir aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Martin berpeluang untuk meraih gelaran dunia pertamanya secara matematik pada hujung minggu ini, dengan perlumbaan pecut esok dan perlumbaan sebenar pada Ahad.
Dalam cuaca panas dan lembap di Sepang, hari ini menjadi milik Bagnaia yang memberikan amaran awal menjelang hujung minggu kritikal ini.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Pecco’ itu dengan mudah mencatat masa terpantas dalam latihan pagi dan terus mengungguli sesi petang dengan catatan masa 1 minit 57.679 saat (s), hanya 0.050s lebih cepat daripada Martin.
Bagaimanapun, Martin terjatuh kurang dari tiga minit sebelum sesi berakhir, tetapi dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Bagnaia, dia berjaya mengatasi masalah tayar belakang yang mencabar semasa sesi latihan bebas pertama di mana dia kemudian mengungguli carta dan meneruskan dominasi pada sesi petang.
“Namun, rentak saya (dalam sesi latihan) adalah baik dan perasaan saya juga positif. Memulakan latihan dalam keadaan yang sukar adalah penting, kerana saya tahu penggunaan tayar belakang di litar ini sangat tinggi.
“Adalah penting untuk memulakan dalam situasi yang sukar untuk menguji kekuatan dan ketahanan,” katanya.
Ditanya mengenai banjir besar yang berlaku di Valencia (lokasi perlumbaan terakhir musim ini), di timur Sepanyol, dia tidak terganggu dengan perkara berkenaan.
“Paling penting adalah untuk menang, bermula dengan baik dan fokus pada perlumbaan hujung minggu ini,” katanya.
Bagnaia baru sahaja meraih kemenangan di Buriram, Thailand, dalam keadaan hujan, mengurangkan jurang mata dengan Martin dan memastikan perubatan juara masih terbuka.
Penutup musim ini dijadualkan di Valencia dalam dua minggu lagi, tetapi pelumba terkemuka, termasuk Martin dan Bagnaia, meminta agar acara itu dipindahkan disebabkan banjir maut di kawasan di Sepanyol yang sudah mengorbankan 100 lebih mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd