Bagnaia tunggu pembaharuan Ducati di Jerez

Bagnaia tunggu pembaharuan Ducati di Jerez


Barcelona: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, meredakan jangkaan terhadap proses naik taraf besar jentera Ducati menjelang aksi MotoGP Sepanyol hujung minggu ini, namun optimis komponen baharu bakal diperkenalkan pada sesi ujian selepas perlumbaan Isnin depan.

Menurutnya, pasukan tidak mempunyai banyak perkara untuk diuji sepanjang hujung minggu perlumbaan, tetapi menjangkakan sesuatu yang mampu membantu prestasi akan diperoleh dalam sesi ujian itu.

“Saya tidak pasti secara terperinci, tetapi saya harap ia dapat membantu kami ke arah yang diperlukan,” katanya.

Selepas beberapa pusingan awal musim, pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi dan Jorge Martin, kini mendahului kedudukan kejuaraan dunia, manakala pelumba KTM, Pedro Acosta, berada di tangga ketiga.

Pelumba Ducati, Fabio Di Giannantonio, muncul pelumba terbaik pasukan itu di kedudukan keempat, diikuti juara bertahan, Marc Marquez, yang menghadiahkan satu-satunya kemenangan Ducati musim ini menerusi perlumbaan pecut di Brazil.

Sementara itu, Bagnaia yang juga bekas juara dunia dua kali tiba di Jerez dengan kedudukan kesembilan keseluruhan.

“Saya tahu kemampuan saya dan tahu di mana tahap sebenar saya. Setiap kali berpeluang, saya sentiasa berada di hadapan dan keputusan membuktikannya.

“Namun, saya berdepan kesukaran sejak dua tahun lalu. DNA GP25 dan GP26 yang sama tidak membolehkan saya mempamerkan kemampuan sebenar.

“Saya sentiasa menunggang secara defensif dan tidak dapat memberi kepercayaan penuh kepada jentera, sekali gus menjejaskan kelajuan saya.

“Kekuatan saya sebelum ini iaitu membrek dan memasuki selekoh juga tidak lagi dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan jentera ini.

“Saya juga terpaksa mengubah sepenuhnya sistem brek dan ia memberi kekangan besar kepada saya.

“Saya harap kami dapat kembali ke arah seperti sebelum ini sehingga 2024 dengan jentera yang dibina mengikut keperluan itu.

“Ketika ini, ada pelumba lain turut mengadu perkara sama dan saya harap kami dapat mencuba sesuatu ke arah itu dalam sesi ujian nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top