ISU pembahagian harta pusaka atau faraid sering kali menjadi topik yang sensitif bagi sesetengah orang.
Mana tidaknya, ada yang ‘makan hati’ dengan pembahagian harta pusaka yang dikira tidak adil pada pandangan mereka, di samping ada yang dipaksa untuk rela membahagikan harta pusaka secara sama rata dan banyak lagi situasi yang berlaku dalam masyarakat.
Bahkan kadang kala berlaku ketidakpuasan hati sesama ahli waris yang layak sehingga proses pembahagian harta pusaka tidak dapat disempurnakan dengan baik.
Malah lebih membuatkan keadaan bertambah teruk, waris-waris utama yang layak menerima harta pusaka turut meninggal dunia sebelum harta pusaka dapat dibahagikan dan keadaan tersebut dalam ilmu faraid dinamakan sebagai kematian berlapis.
Perancang Harta Pusaka, As Salihin Trustee Berhad, Ustaz Fadzli Rozali menjelaskan, kematian seseorang itu berada di luar kemampuan dan kawalan manusia.
USTAZ FADZLI
“Kita tidak tahu bila waktunya dijemput malaikat maut dan tidak semestinya orang tua atau ibu bapa yang akan meninggal dunia terlebih dahulu berbanding golongan muda.
“Oleh itu pembahagian harta pusaka wajib disegerakan selepas kematian seseorang bagi mengelakkan berlakunya kematian ahli waris yang menyebabkan terjadinya kematian berlapis,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus.
Siapa meninggal dunia dahulu?
Beliau yang juga Exco Pertubuhan Perunding & Pengamal Faraid Malaysia (PPFM) berkata, syarat untuk ahli waris menerima harta pusaka ialah dia mesti hidup ketika pemilik harta itu meninggal dunia walaupun dalam tempoh singkat.
Ujarnya, sebagai contoh yang mudah untuk difahami kematian berlapis yang tidak boleh dielakkan adalah ketika berlakunya penyebaran virus Covid-19 beberapa tahun lalu yang menyebabkan kematian beberapa ahli keluarga dalam masa terdekat sebelum urusan pembahagian harta pusaka dapat dibuat.
“Contoh lain, kemalangan jalan raya antara suami isteri. Bedah siasat oleh pihak hospital dapat menentukan siapa yang meninggal terlebih dahulu sama ada suami atau isteri.

URUSAN pembahagian harta pusaka kadangkala turut melibatkan mahkamah syarie apabila berlaku pertikaian antara ahli waris. Foto CANVA
“Mungkin suami meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri pula meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital. Di situlah berlakunya kematian berlapis.
“Oleh itu penting untuk mengetahui siapa yang meninggal terlebih dahulu dan siapa yang meninggal selepasnya sebelum urusan pembahagian harta pusaka bagi kematian berlapis ini dapat dibuat,” jelasnya.
Sikap berlengah faktor utama
Hurainya, kematian berlapis kini sudah menjadi fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat dan faktor utamanya disebabkan sikap ahli waris yang berlengah-lengah dan tidak menyegerakan pembahagian harta pusaka itu.
Ujarnya lagi, ada kes kematian berlaku sebelum negara merdeka lagi dan sehingga sekarang pusaka masih belum diselesaikan.
“Cuba bayangkan moyang yang meninggal dunia dan meninggalkan banyak harta. Namun ia tidak dapat dibahagikan kepada waris kerana melibatkan banyak lapisan generasi yang layak untuk menerima harta tersebut.
“Ada yang menganggap kubur masih merah, idah belum tamat dan banyak lagi alasan namun akhirnya berlaku kematian berlapis yang menyukarkan lagi proses.
“Apa yang patut diberi perhatian dan dibimbangkan adalah jika dalam kalangan ahli waris tersebut merupakan anak yatim atau golongan kurang sempurna akalnya, ia akan menzalimi mereka jika pembahagian harta pusaka tidak dibuat,” katanya.
Cabaran besar urus kematian berlapis
Apabila berlaku kematian berlapis, kata Ustaz Fadzli, pelbagai kesukaran akan bertambah dari segi pertambahan bilangan waris, dokumen-dokumen yang perlu dikumpulkan dan kos juga semakin bertambah.
“Bila kematian berlapis berlaku, maka akan timbullah cabaran besar yang perlu dihadapi waris untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka.
“Antara cabaran tersebut termasuklah waris mengalami kesukaran untuk membuat siasatan salasilah keluarga memandangkan carta pokok keluarga tersebut menjadi semakin besar.
“Ahli waris juga akan menghadapi kesulitan untuk mengumpulkan dokumen waris yang layak terutamanya dokumen bagi mereka yang sudah lanjut usianya di samping lokasi mereka yang jauh dan kesukaran menghubungi mereka,” kata beliau.
Oleh itu katanya, penting bagi pemilik harta membuat perancangan harta-hartanya sebelum dia meninggal dunia bagi memudahkan proses pembahagian harta tersebut sekali gus menyelesaikan urusan pembahagian harta pusakanya.

PEMBAHAGIAN harta pusaka bagi kematian berlapis menjadi sukar apabila ia melibatkan ramai waris yang tinggal berjauhan dan tidak dapat dikesan. Foto CANVA
“Lantiklah pentadbir harta (wasi) atau boleh juga melantik konsultan atau syarikat amanah bagi menguruskan harta itu selepas kematiannya.
“Salah satu peranan pentadbir harta adalah untuk melindungi hak waris bawah umur termasuk anak yatim dan waris yang kurang sempurna akalnya,” jelasnya.
Sebelum menutup kalam, beliau berpesan kepada masyarakat agar merancang pengurusan harta pusaka ketika masih hidup bagi memudahkan proses pembahagian selepas meninggal dunia.
“Selain itu, perlu kenal dan jaga hubungan silaturahim dalam keluarga. Sediakan fail faraid peribadi merangkumi semua aset yang dimiliki dan dokumen ahli waris yang berhak.
“Didik ahli keluarga dan anak-anak untuk memahami asas ilmu faraid kerana kita semua akan berurusan dengan pembahagian harta pusaka ini memandangkan dalam kalangan keluarga pastinya akan ada yang meninggal dunia nanti,” katanya.

CARTA salasilah keluarga perlu disediakan dalam usaha mengenal pasti ahli waris yang layak dalam pembahagian harta pusaka. Foto CANVA
Penyelesaian pembahagian harta pusaka bagi kematian berlapis:
1 – Kenal pasti setiap ahli waris yang layak.
2 – Buat salasilah keluarga atau carta waris.
3 – Kumpulkan dokumen-dokumen berkaitan terutamanya sijil kematian dan pengenalan diri.
4 – Lantik wakil untuk setiap keluarga yang berhak.
5 – Adakan mesyuarat keluarga.
6 – Bagi harta tidak alih seperti tanah dan bangunan yang sukar untuk dibahagikan, sebaiknya ada ahli waris yang reda melepaskan hak atau waris lain menebus hak itu.
Perlu diingatkan, harta pusaka wajib dibahagikan kepada ahli waris yang berhak, namun ia tidak wajib untuk diterima ahli waris memandangkan hak itu boleh dilepaskan kepada waris yang lain.