Kerajaan Malaysia kini memperincikan pelaksanaan subsidi bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang memperkenalkan beberapa mekanisme baharu dalam usaha menstruktur semula pemberian subsidi bahan api berikutan konflik bersenjata di Asia Barat.
Antara pengumuman paling mendapat perhatian ialah penetapan had penggunaan semula petrol RON95 sebanyak 200 liter sebulan bagi penerima subsidi, di samping jaminan bahawa 90 peratus rakyat tidak akan terjejas dengan pelaksanaan sistem kuota baru ini.
Melalui pendekatan baharu ini, pengguna yang layak akan terus menikmati harga petrol bersubsidi pada harga RM 1.99, namun dalam had baru yang telah ditetapkan. Bagi kebanyakan pengguna biasa, jumlah 200 liter sebulan dijangka mencukupi untuk kegunaan harian seperti ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah serta perjalanan jarak sederhana.
Walau bagaimanapun, bagi golongan tertentu seperti mereka yang berulang-alik jarak jauh setiap hari atau menggunakan kenderaan dengan penggunaan bahan api yang lebih tinggi, had ini mungkin menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar mememnuhi keperluan sebenar pengguna.
Dalam masa sama, kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar ini dirangka dengan teliti supaya majoriti rakyat terus dilindungi daripada terbeban. Dengan menyasarkan bantuan kepada golongan yang layak, langkah ini bertujuan mengurangkan ketirisan serta memastikan perbelanjaan kerajaan dapat diurus dengan lebih cekap.
Pada masa yang sama, golongan yang menggunakan petrol dalam kuantiti tinggi seperti pemandu e-hailing diberikan perhatian khusus dalam pelaksanaan dasar ini apabila mereka dibenarkan menikmati had penggunaan yang lebih tinggi, iaitu sehingga 800 liter sebulan.
Ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kebergantungan golongan tersebut kepada bahan api dalam menjana pendapatan harian, selain memastikan kos operasi mereka tidak meningkat secara mendadak yang akhirnya boleh memberi kesan kepada pengguna perkhidmatan.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan langkah sementara bagi pengawalan diesel di Sabah dan Sarawak dengan menetapkan had pengisian tertentu mengikut kategori kenderaan. Bagi kenderaan ringan persendirian, had maksimum ditetapkan sebanyak 50 liter setiap pembelian, manakala kenderaan komersial di bawah tiga tan dihadkan kepada 100 liter.
Untuk kenderaan yang melebihi tiga tan pula, had ditetapkan sebanyak 150 liter bagi setiap pembelian. Langkah ini dilihat sebagai usaha segera untuk mengekang aktiviti ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan BUDI MADANI RON95 memperlihatkan perubahan ketara dalam pendekatan subsidi bahan api di Malaysia, daripada sistem menyeluruh kepada sistem yang lebih tersasar. Walaupun di atas kertas ia dilihat mampu melindungi majoriti rakyat, keberkesanan sebenar dasar ini masih bergantung kepada pelaksanaan di peringkat lapangan serta penerimaan pengguna.
Dalam konteks ini, persoalan mengenai kecukupan had penggunaan dan kesan terhadap gaya hidup harian dijangka terus menjadi perbincangan dalam kalangan rakyat. Tapi buat masa ini, laporan awal menyebut bahawa langkah ini adalah sementara sahaja
Siapa sangka konflik bersenjata di antara Iran dan negara penggana Amerika dan Israel sedikit sebanyak menyebabkan rantaian kesan ekonomi pada Malaysia sehingga langkah drastik seperti ini perlu diambil. Sehingga kini konflik ini masih belum menunjukkan tanda-tanda akan tamat dalam masa terdekat






