redzuan.muharam@hmetro.com.my
Seri Kembangan: Asbab dibesarkan ibu bapa orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Abdul Hakim Badarul Zaman boleh memahami dan bertutur dalam bahasa isyarat seawal umur 10 tahun.
Ilmu dan kemahiran dimiliki Abdul Hakim, 25, nyata tidak sia-sia kerana memberi peluang kepadanya mencari rezeki sebagai jurubahasa isyarat sambilan untuk siaran berita secara langsung di sebuah stesen televisyen sejak Disember tahun lalu.
Lantaran kebolehan itu, Abdul Hakim juga pernah diberi kepercayaan menjadi jurubahasa program keagamaan kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain majlis membabitkan OKU pendengaran.
Berkongsi kisahnya, Abdul Hakim berkata, pengalaman menjadi penterjemah bahasa isyarat ‘tidak rasmi’ kepada ibu, Nor Aini Ismail, 55, dan bapanya, Badarul Zaman Hassan, 59, sejak kecil banyak mengajarnya mengenai keperluan insan istimewa.
Katanya, salah satu adalah penyampaian maklumat tepat menerusi bahasa isyarat yang menjadi medium komunikasi golongan OKU pendengaran seperti ibu bapanya.
“Saya boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat selepas dapat pendedahan awal ketika berumur empat tahun, cuma betul-betul mahir apabila bersekolah (umur 10 tahun) kerana kerap ikut dan bantu emak ayah terjemah bahasa isyarat mereka sewaktu berurusan di hospital dan balai polis.
“Di kampus (pengajian tinggi) tak dapat praktikkan sangat waktu belajar, tapi ada cuba buat lagu dalam bahasa isyarat.
“Ikutkan, saya tak nak pun jadi jurubahasa isyarat, tetapi dipujuk ayah dan dihubungi Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia untuk sertai kursus jurubahasa isyarat media.
“Saya buat keputusan menyertainya kerana fikir sudah ada asas, jadi baik digunakan hinggalah akhirnya dapat peluang jadi jurubahasa isyarat,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.
Menurut Abdul Hakim, dia bersyukur kerana kemahiran berbahasa isyarat membuka jalan dan pintu rezeki buatnya, meskipun pelbagai cabaran dilaluinya, yang dianggap pengalaman untuk menjadikan dia lebih baik.
“Saya masih ingat lagi reaksi rakan yang terkejut waktu emak dan ayah datang ke sekolah ambil laporan prestasi ketika saya di tahun tiga… hingga patah semangat saya serta malu juga pada awalnya.
“Lama kelamaan, saya sudah dapat terima (hakikat) kerana emak dan ayah selalu pesan, dalam setiap kekurangan pasti ada kelebihannya.
“Betul apa yang emak dan ayah katakan kerana kini, saya dapat jadi jurubahasa isyarat pun disebabkan membesar dengan mereka,” katanya yang juga graduan Diploma Perkhidmatan Makanan dan pernah bekerja di sebuah restoran, sebelum berkhidmat sebagai auditor inventori.
Akuinya tidak mudah menjadi jurubahasa isyarat media kerana pernah berhadapan kesilapan teknikal membabitkan fon telinga ketika siaran langsung, selain kesalahan bahasa isyarat hingga mendapat teguran persatuan dan OKU.
“Saya hadapi semua cabaran itu dan belajar supaya tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya yang pernah menjadi jurubahasa isyarat bagi membantu rombongan jemaah umrah OKU.
Abdul Hakim juga berkongsi ilmu dimiliki di platform media sosial, khususnya TikTok sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk mendalami bahasa isyarat.
“Ketika bersiaran di TikTok, ramai tanya latar belakang serta nak tahu macam mana saya boleh mahir bahasa isyarat. Saya jawab soalan mereka dan kongsi serba sedikit pengalaman jadi jurubahasa isyarat, juga kisah saya sebagai CODA iaitu anak kepada OKU pendengaran,” katanya
Buat masa ini katanya, dia lebih selesa menjadi jurubahasa isyarat berbanding menjadi tenaga pengajar bahasa isyarat profesional meskipun menerima tawaran.
Katanya, dia akan terus berkongsi pengetahuan bahasa isyarat dengan orang ramai, menerusi caranya tersendiri dan pelbagai platform media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd