PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mahu anak buahnya tampil lebih tenang ketika menguasai perlawanan sambil mengakui corak permainan The Reds yang sering membiarkan lawan bangkit boleh menjejaskan kudrat pada jangka panjang.
Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara pada Khamis, merupakan kali ketiga daripada lima perlawanan Reds mendahului 2-0 sebelum dipaksa bekerja keras mencari gol kemenangan lewat permainan.
Uniknya, semua jaringan kemenangan skuad bimbingan Slot musim ini hadir selepas minit ke-83, sesuatu yang dianggap memberi kelebihan mentaliti tetapi dalam masa sama mencetus kebimbangan terhadap ketahanan fizikal.
“Kami hanya bermain lima perlawanan, jadi terlalu awal untuk menilai dalam tempoh panjang.
“Tetapi isu mendahului 2-0 ini memang kami bincangkan, sebab kalau setiap kali perlu habiskan tenaga hingga hujung musim semestinya boleh memudaratkan,” kata Slot menjelang aksi Derbi Merseyside ke-247 menentang Everton di Anfield.
Bekas pengendali kelab Belanda, Feyenoord Rotterdam itu juga kini berdepan keputusan penting sama ada menurunkan semula penyerang baharu, Alexander Isak, selepas membuat penampilan sulung ketika menentang Atletico.
Isak yang berharga £125 juta (RM708.5 juta) hanya beraksi 58 minit berikutan ketiadaan pramusim akibat pertikaian bersama Newcastle United, dan difahamkan masih menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan.
Jika Isak direhatkan, Slot berkemungkinan memberi peluang kepada seorang lagi muka baharu, Hugo Ekitike, untuk bergandingan di jentera serangan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan menurunkan kedua-dua penyerang itu secara serentak dalam sistem dua penyerang sekiranya diperlukan.
“Kami biasanya bermain 4-3-3, tetapi di hujung perlawanan kami pernah turunkan dua penyerang. Hugo juga boleh beraksi dari kiri, berbeza dengan Rio (Ngumoha) atau Cody (Gakpo). Kami ada banyak opsyen bergantung pada kecergasan dan prestasi semasa,” jelas Slot.
Liverpool kini memburu tiga mata dalam usaha terus mengekalkan permulaan cemerlang di bawah Slot, dengan cabaran getir menanti apabila Everton turun dengan misi menafikan dominasi jiran setempat di Anfield.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (20 SEPTEMBER)
Liverpool lwn Everton
(Stdm Anfield, 7.30 malam)
Burnley lwn Nottingham Forest
(Stdm Turf Moor, 10 malam)
Brighton lwn Tottenham Hotspur
(Stdm Amex, 10 malam)
West Ham United lwn Crystal Palace
(Stdm London, 10 malam)
Wolverhampton lwn Leeds United
(Stdm Molineux, 10 malam)
AHAD (21 SEPTEMBER)
Manchester United lwn Chelsea
(Stdm Old Trafford, 12.30 tengah malam)
Fulham lwn Brentford
(Stdm Craven Cottage, 3 pagi)
Sunderland lwn Aston Villa
(Stdm of Light, 9 malam)
Bournemouth lwn Newcastle United
(Stdm Vitality, 9 malam)
Arsenal lwn Manchester City
(Stdm Emirates, 11.30 malam)
Ringkasan AI
- Arne Slot mahu Liverpool tampil lebih tenang dalam perlawanan dan mengakui pemain sering biarkan lawan bangkit
- Kemenangan 3-2 atas Atletico Madrid menunjukkan kekuatan mental tapi mengundang kebimbangan ketahanan fizikal
- Liverpool sering mendahului 2-0 tetapi kemudian perlu bertungkus-lumus mencari gol kemenangan
- Slot pertimbangkan untuk menurunkan penyerang baru, Alexander Isak atau Hugo Ekitike, dalam perlawanan akan datang
- Liverpool berusaha memburu tiga mata untuk mengekalkan permulaan cemerlang musim ini di bawah kendalian Slot






