KELANA JAYA – Kim Pan Gon memilih pendirian untuk tidak mendedahkan punca sebenar yang mendorong beliau meletakkan jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya hari ini.
Bekas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bagaimanapun berkata, sebab pengunduran telah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM).
“Ia alasan yang tak boleh di kongsikan di sini, ‘bahaya’.
“Datuk Presiden tahu semuanya, tapi tak perlu tanya dia lagi. Semua sudah selesai.
“Saya telah beritahu Datuk presiden segalanya, di mana saya tidak boleh beritahu anda di sini. Beliau tahu segalanya.
“Kami juga telah berbicang mengenainya banyak kali, bukan hanya sekali,” katanya meskipun beberapa kali diasak oleh wartawan sukan berhubung punca utama beliau meninggalkan skuad Harimau Malaya.
Menurutnya, beliau telah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk berundur kepada presiden FAM, namun gagal.
Bagaimanapun, beliau akhirnya berjaya memujuk presiden untuk menerima keputusan itu dengan hati terbuka, hujung Jun lalu.
“Saya tidak akan ulas apa-apa berkenaan ini dalam sidang media ini.
“Jadi, lebih baik kita tidak bercakap mengenainya lagi. Jangan pula kamu tanya Datuk presiden” seloroh Kim Pan-gon lagi.
Untuk rekod Kim Pan-gon mula mengendalikan pasukan Harimau Malaya sejak Februari 2022 dan telah mempamerkan pencapaian yang dianggap memberangsangkan sepanjang kendalian beliau.
Beliau turut menyumbang kepada Harimau Malaya memperbaiki rankingnya dalam FIFA.-MalaysiaGazette