BAJC 2025: Cabaran Malaysia terhenti suku akhir

BAJC 2025: Cabaran Malaysia terhenti suku akhir


PERJALANAN skuad badminton remaja negara dalam acara berpasukan Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 berakhir di suku akhir setelah tewas 64-110 kepada pasukan pilihan, China di Stadium Tertutup Manahan, Solo pada Isnin.

Malaysia mara ke suku akhir setelah menamatkan saingan di Kumpulan A sebagai naib juara, di belakang pasukan tuan rumah, Indonesia manakala China pula layak ke peringkat kalah mati selaku juara Kumpulan C.

Malaysia menampilkan barisan pemain terbaik memulakan perlawanan dengan perseorangan lelaki pertama Lim Boon Le bejaya mengatasi Xiao Gao Bo, 11-9.

Namun, kekuatan China jelas ketara apabila Xu Wen Jing mengungguli perlawanan perseorangan wanita pertama menewaskan Eng Ler Qi, 17-22.

Gandingan beregu wanita pertama negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi, turut berdepan tentangan sengit sebelum akur kepada Chen Fan Shu Tian-Tan Ke Xuan, 27-33.

Dalam acara beregu campuran pertama, pasangan Loh Ziheng-Noragilah Ramdan tewas 30-44 kepada pengalaman Li Hong Yi-Cao Zi Han.

Skuad negara terus ketinggalan apabila beregu lelaki pertama, Damien Ling-Shazmir Shahrul, tewas 39-55 kepada Chen Jun Ting-Liu Jun Rong.

Biarpun pemain perseorangan negara, Kong Wei Xiang berusaha keras kembali menyaingi, namun terpaksa akur tewas 44-66 kepada Liu Yang Ming Yu.

Pemain perseorangan wanita kedua negara, Lim Zhi Shin turut tidak bernasib baik apabila tewas 48-77 kepada Yin Yi Qing.

Gandingan beregu wanita kedua, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi, tewas sekali lagi kepada Chen Fan Shu Tian-Tan Ke Xuan, 56-88.

Cabaran beregu campuran kedua, Loh Ziheng-Noragilah Ramdan turut berakhir apabila tewas 60-99 kepada Hong Yi Li-Cao Zi Han.

Beregu lelaki, Loh Ziheng-Zulwaqgarizal Redzuan melabuh cabaran negara apabila tewas 64-110 kepada Chen Jun Ting-Liu Jun Rong.

Sebagai rekod, BAJC 2025 menggunakan format baharu yang menyaksikan setiap pasukan perlu melengkapkan 10 perlawanan dengan setiap perlawanan dimainkan hingga 11 mata dan pasukan pertama yang mengumpul 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.

Saingan individu BAJC 2025 akan bermula dari 23 hingga 27 Julai.

 



Source link

OR

Scroll to Top