PENGENDALI Inter Milan, Simone Inzaghi, menegaskan bahawa pengurusan skuad secara teliti amat penting dalam usaha menyeimbangkan antara tanggungjawab domestik dan misi besar Liga Juara-Juara UEFA.
Walaupun mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Torino di Stadio Olimpico Grande Torino, Inter beraksi tanpa beberapa tonggak utama – termasuk ketua pasukan dan penyerang utama, Lautaro Martinez; penjaga gol utama, Yann Sommer; serta pemain tengah lincah, Davide Frattesi yang tidak tersenarai dalam kesebelasan utama.
Pengendali berusia 49 tahun itu berkata, I Nerazzurri perlu melakukan penggiliran pemain bagi mengelakkan keletihan melampau selepas melalui musim yang panjang dan mencabar, khususnya dalam usaha kelab memburu kejuaraan berganda – Serie A dan Liga Juara-Juara.
“Saya perlu memberikan rehat yang cukup kepada beberapa pemain selepas mengharungi musim yang amat melelahkan.
“Untuk perlawanan menentang Lazio nanti, saya rasa pemain-pemain yang tidak diturunkan hari ini masih belum pulih. Namun, kita akan lihat keadaan mereka menjelang aksi terakhir menentang Como,” ujar Inzaghi.
Mengulas cabaran berdepan gergasi Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada 1 Jun depan, Inzaghi berkata Inter perlu bergantung kepada kecekapan organisasi pasukan memandangkan mereka tidak memiliki bajet sebesar kelab-kelab ternama lain.
“Orang kata skuad Inter kecil, tapi kami tidak punya bajet seperti PSG, Manchester City atau Bayern Munich.
“Justeru, kami perlu lebih tersusun. Dengan semangat juang yang dimiliki pasukan, kami mampu bersaing dengan sesiapa sahaja,” tegas beliau.
Inter kini berada di tangga kedua, mengekori rapat pendahulu Napoli yang diikat Genoa 2-2 di laman sendiri, Stadio Diego Armando Maradona, dengan hanya dua perlawanan berbaki.
“Saya sudah nyatakan sebelum perlawanan, malangnya kejuaraan Serie A bukan lagi dalam kawalan kami.
“Namun, kami tetap perlu bermain dengan penuh tumpuan seperti yang ditampilkan malam ini.
“Menghadapi pasukan yang belum tewas di laman sendiri, kami perlukan satu persembahan bertenaga, dan itulah yang kami berikan,” katanya.