Penyanyi baharu, Hadi Suhaimi yang merupakan anak kepada penyanyi nasyid terkenal Allahyarham Suhaimi Saad kini mula melangkah ke dunia seni dengan lebih serius selepas menamatkan penyertaannya dalam sebuah program realiti nyanyian baru-baru ini.
Menurut Hadi, sebelum membuat keputusan untuk terlibat dalam industri hiburan, dia terlebih dahulu berbincang dengan ibunya yang juga pengurus peribadinya, Ina Naim, bagi menilai baik buruk langkah tersebut.
“Saya dan ibu berbincang panjang sebelum saya ceburi bidang ini. Bila ditimbang-timbang, lebih banyak kebaikan yang boleh diperoleh, jadi saya cuba.
“Walaupun hanya berjaya ke peringkat akhir program realiti itu, saya bersyukur kerana ia membuka peluang untuk saya terus ke hadapan mencari rezeki,” katanya.
Tambah remaja berusia 17 tahun itu, meskipun minatnya lebih cenderung kepada bidang lakonan, dia sedar bakatnya lebih menyerlah dalam nyanyian.
“Saya memang suka berlakon, kadang-kadang di rumah pun saya berlakon dengan ibu. Tapi saya tahu nyanyian itu kekuatan saya. Jadi bila ada peluang berlakon, saya terima untuk mencuba,” ujarnya.
Sementara itu, Ina Naim yang juga bekas penyanyi dan pelakon, memaklumkan selepas program realiti berkenaan tamat, rezeki anaknya terus terbuka apabila menerima pelbagai tawaran, termasuk daripada Jaja Ishak Channel untuk menjayakan sebuah filem pendek.
“Syukur, selepas program itu tamat, ada beberapa rezeki yang datang. Saya sebagai pengurus sedang menyusun jadual Hadi. Tawaran daripada Jaja Ishak Channel datang pada waktu yang tepat, dan dalam filem pendek itu Hadi akan digandingkan dengan Qadejah El Zahra atau Cess, anak kepada Datuk Seri Aliff Syukri.
“Kerjasama dengan penerbit Jaja Ishak membawa makna yang lebih mendalam berbanding sekadar peluang karier untuk anak saya,” katanya.
Menurut pelantun lagu Duhai Hati ini, Jaja bukan sekadar penerbit yang mempercayai bakat Hadi, tetapi juga sahabat lama arwah suaminya yang memahami cara dan prinsip keluarga mereka.
“Saya kenal Jaja sudah lama kerana Jaja sahabat arwah Suhaimi di bangku sekolah, mereka memang rapat. Jadi bila dia tawarkan projek ini, saya rasa tenang sebab dia tahu batas kami dan cara kami bekerja.
“Arwah dulu pun sangat menghormati Jaja sebagai sahabat yang sentiasa menyokong, jadi bila Hadi dapat peluang ini, rasa macam meneruskan legasi yang arwah tinggalkan,” kata Ina.
Tambahnya lagi, buat masa ini mereka memilih untuk memberi tumpuan kepada lakonan sebelum melancarkan single pertama Hadi.
“Ramai di TikTok yang minta Hadi berlakon, jadi kami fokus dulu ke arah itu. Tapi saya tak terima semua tawaran secara terburu-buru. Saya nilai dulu setiap skrip dan produksi, supaya tiada babak bersentuhan atau adegan serta perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Saya akan pastikan setiap projek sesuai dengan usia dan imej Hadi,” katanya lagi.
Ina turut menegaskan pengalaman hidup bersama arwah suaminya banyak mengajarnya untuk berhati-hati dalam menguruskan karier anaknya.
“Saya tak mahu Hadi popular tanpa pengisian. Saya mahu dia dikenali dengan bakat dan nilai yang baik. Dia masih muda, jadi saya pantau setiap langkahnya. Insya-Allah bila dia sudah pandai bawa diri, saya akan beri lebih ruang,” katanya.
Sementara itu, penerbit Jaja Ishak berkata idea untuk menampilkan Hadi datang selepas melihat sambutan positif terhadapnya di media sosial.
“Kami lihat ramai yang suka dengan personaliti Hadi dan peserta lain dari program itu. Jadi saya ambil peluang untuk bekerjasama dengan dia dan Ina. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ujar Jaja.
Jaja turut memaklumkan bahawa filem pendek berjudul Antara Dua Darjat itu bakal ditayangkan di platform media sosial sebelum penghujung November ini.
“Filem ini mengisahkan percintaan antara dua individu daripada latar belakang berbeza yang menghadapi tentangan keluarga. Ia sebuah kisah ringan tetapi menyentuh hati,” tambahnya.






