Bakal pemilik Kedah jangan scammer pula – Sanusi

Bakal pemilik Kedah jangan scammer pula – Sanusi


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menaruh harapan tinggi agar syarikat berminat untuk mengambil alih kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC memiliki kemampuan kewangan menyelesaikan masalah dihadapi kelab tersebut.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengakui syarikat terbabit telah melakukan pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din.

Namun beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan urusan pemilikan KDA FC.

“Kalau dia ada kemampuan, sila. Boleh selesai masalah. Kita harap dia ada kemampuan. Doa-doalah dia ada kemampuan. Jangan scam. Belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah. Macam scammer tak baguslah.

“Dia tiada sangkut paut dan tak perlu kebenaran kita pun, dia berurusan dengan KDA FC. Harap-harap ada sinar di hujung terowong,” katanya menerusi satu video apabila diminta mengulas mengenai isu pemilikan KDA FC semasa satu sidang media semalam.

Isu pengambilalihan KDA FC yang sedang berdepan isu kewangan kembali panas selepas sebuah syarikat DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) di Jitra dilaporkan berminat untuk memiliki kelab berpangkalan di Utara tersebut.

Pada 3 November lalu, MMC yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Nazar Ahmad Md Noor dikatakan sudah menyerahkan surat tawaran untuk pengambilalihan KDA FC.

Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek memaklumkan pihaknya mahu mengambil alih 100 peratus saham KDA FC dan liabilitinya, tertakluk dengan terma dan syarat perjanjian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top