Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pelancaran rasmi KELIO iaitu Madu Kelulut Multiflora, hasil kerjasama strategik antara Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di bawah Program Ekonomi Kem Madani.
PM Anwar rasmikan pelancaran produk KELIO
Majlis tersebut berlangsung sempena Program Madani Rakyat 2025 Zon Selatan di Politeknik Merlimau, Melaka.
KELIO projek ternakan lebah kelulut
Difahamkan, pelancaran ini merupakan susulan daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara BPlant dan BAKAT yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 8 September lalu.
Melalui kerjasama tersebut, projek penternakan lebah kelulut akan dilaksanakan di kem-kem ATM seluruh negara sebagai langkah memperkukuh ekonomi komuniti pertahanan.
Nama diilhamkan sendiri MENHAN
KELIO ialah madu kelulut tulen yang dituai dari kawasan taman sekitar kem ATM dan dihasilkan dengan penuh ketelitian oleh ahli BAKAT.
Menariknya, nama KELIO diilhamkan oleh Menteri Pertahanan sendiri, iaitu hasil gabungan perkataan “KELulut TENtera IO (10)” yang melambangkan kekuatan, semangat juang dan ketahanan warga tentera.
Menerusi model berkenaan juga, BAKAT akan mengurus penternakan dan penuaian madu, manakala BPlant bertindak sebagai rakan strategik yang membeli semula hasil madu pada harga pasaran kompetitif untuk diproses menjadi produk premium berjenama KELIO.
Sebanyak 70% hasil madu dibeli semula oleh BPlant, manakala 30% digunakan oleh BAKAT untuk latihan, keusahawanan dan pembangunan produk hiliran.
Artikel lain: Kerajaan MADANI jamin kebajikan warga ATM, komited perkukuh aset pertahanan -PM
Produk KELIO bakal dipasarkan melalui rangkaian PERNAMA, BH Petrol, platform e-dagang, serta saluran runcit terpilih. Selain madu utama, potensi produk hiliran seperti Madu Halia dan Madu Tongkat Ali turut akan diteroka.
Inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan satu lagi produk tempatan berkualiti tinggi, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu untuk keluarga ATM, selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani dalam memperkasa komuniti dan mewujudkan ekosistem ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan.